PBB tuduh negara Asia sekat kebebasan bersuara ketika pandemik

PBB tuduh negara Asia sekat kebebasan bersuara ketika pandemik

GENEVA,. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran kepada China dan negara Asia Tenggara lain yang mengekang kebebasan bersuara dan mengetatkan tapisan dengan menjadikan krisis COVID-19 sebagai alasan.

Ketua Hak Asasi PBB, Michelle Bachelet, dalam satu kenyataan menyuarakan kebimbangan kerana penapisan maklumat diperketatkan di beberapa negara berikutan pandemik virus itu.

“Individu yang mengkritik cara kerajaan tertentu mengendalikan krisis ini ditangkap secara sewenang-wenangnya, malah sesiapa yang berkongsi maklumat serta pandangan mengenai pandemik COVID-19 turut ditahan.

“Penahanan kerana menyuarakan rasa tidak puas hati atau didakwa menyebarkan maklumat palsu sosial dilaporkan di Bangladesh, Kemboja, China, India, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Nepal, Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam,” katanya.

Tambah Bachelet, beliau mengiktiraf keperluan untuk hadkan maklumat yang berbahaya bagi melindungi kesihatan awam, atau sebarang hasutan kebencian terhadap kumpulan minoriti.

Namun, beliau menegaskan bahawa perkara itu tidak boleh menjadi alasan bagi melakukan tapisan secara sengaja atau tidak sengaja.

“Walaupun kerajaan mungkin memiliki kepentingan yang sah dalam mengendalikan penyebaran maklumat salah dalam konteks tidak stabil dan sensitif, ini harus sejajar serta melindungi kebebasan bersuara.

“Krisis ini tidak boleh digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat atau aliran maklumat dan perdebatan yang bebas,” katanya.

Dalam kenyataannya, beliau turut menyenaraikan masalah di setiap negara Asia yang dikenal pasti.

Bagi China, pejabat hak asasi PBB mengatakan sudah menerima maklumat mengenai berpuluh kes berkenaan profesional perubatan, akademik dan warga biasa yang ditahan.

Beberapa individu lagi didakwa kerana menyiarkan pandangan atau maklumat berkaitan COVID-19 atau mengkritik tindak balas kerajaan terhadap krisis sedang berlaku.

“Kes-kes ini membabitkan dua siswazah yang dilapor ditahan pada April lalu kerana memuat naik dalam talian sebagai kandungan laman sesawang berkaitan wabak COVID-19 di China,” katanya.

Sementara itu, di India, beberapa wartawan dan sekurang-kurangnya seorang doktor didakwa atas kritikan awam terhadap tindak balas pihak berkuasa terhadap krisis COVID-19.

Di Indonesia pula, sekurang-kurangnya 51 orang dilaporkan disiasat mengikut undang-undang jenayah fitnah kerana didakwa menyebarkan berita palsu mengenai wabak COVID-19.

Manakala di Kemboja, menurut pejabat hak asasi, pihaknya merekodkan penahanan 30 orang termasuk seorang gadis berusia 14 tahun susulan komen awam dan siaran media sosial yang berkaitan COVID-19.

“Pada masa ketidakpastian yang luar biasa ini, profesional perubatan, wartawan, pembela hak asasi manusia dan masyarakat umum harus dibenarkan menyatakan pendapat mengenai topik berkaitan kepentingan awam.

“Perdebatan ini sangat penting bagi negara-negara untuk bangkit kembali lebih baik selepas krisis,” katanya. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )