PBBPP buka perkhidmatan kereta api funikular kepada pendaki mulai Sabtu ini

PBBPP buka perkhidmatan kereta api funikular kepada pendaki mulai Sabtu ini

GEORGE TOWN,. Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera akan dibuka semula mulai Sabtu ini (6 Jun) selaras dengan pengumuman kerajaan Pulau Pinang yang membenarkan pembukaan semula taman-taman rekreasi di negeri ini pada hari itu.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagaimanapun, perkhidmatan itu hanya untuk kegunaan penduduk, pekerja dan pendaki sahaja manakala pengunjung lain perlu menunggu sehingga pengumuman selanjutnya oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Perkhidmatan kereta api funikular akan beroperasi setiap satu jam dari pukul 7.00 pagi dan seterusnya manakala perkhidmatan terakhir dari Stesen Atas adalah pada 7.00 malam.

“Para pendaki yang mendaki menerusi Laluan Warisan (Heritage Trail) disaran untuk mendaftar melalui PGCARE di Stesen Bawah Bukit Bendera untuk tujuan pengesanan kontak dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan PBBPP,” menurut kenyataan itu.

Berikutan perkhidmatan kereta api funikular tidak beroperasi dengan kapasiti maksima selaras dengan SOP, tiada perkhidmatan kereta api di substesen disediakan kepada pendaki sebaliknya hanya perkhidmatan untuk turun serta naik di Stesen Tengah disediakan untuk pendaki.

“Harap maklum bahawa David Brown’s Restaurant & Tea Terrace akan beroperasi setiap hari bermula 8 Jun ini. Astaka akan ditutup sehingga diberitahu kelak, sila layari laman Facebook rasmi PBBPP untuk maklumat lanjut mengenai tarikh pembukaan semula Astaka,” menurut kenyataan itu.

SOP untuk norma baharu itu akan dikemas kini menerusi laman Facebook rasmi PBBPP dan orang ramai boleh menghubungi talian 04-828 8880 atau e-mel ke [email protected] untuk maklumat terkini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)