PBSNT tuntut skuad Penyu lebih fokus

PBSNT tuntut skuad Penyu lebih fokus

KUALA NERUS,. Pasukan Terengganu FC (TFC) dituntut supaya lebih fokus menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Jumaat ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abd Karim berkata beliau yakin skuad Penyu telah membuat persiapan terbaik untuk menghadapi pasukan gergasi bola sepak negara, JDT yang dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi kejuaraan berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata TFC tetap memiliki peluang sama sekiranya kekal fokus dan mempunyai ketahanan mental ketika beraksi di atas padang.

“Kita semua tahu JDT adalah pasukan serba lengkap dan mereka juga memiliki keupayaan dalam ‘mengusik’ emosi pemain lawan.

“Jadi saya harap mereka (TFC) kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan di atas padang dan pastikan tidak terpedaya dengan gangguan atas padang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud malam tadi selepas menyambut kepulangan pelumba cilik negara Qabil Irfan Azlan yang merangkul gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol baru-baru ini.

Kali terakhir skuad Penyu beraksi di pentas akhir Piala Malaysia ialah pada 2018 di bawah bimbingan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim.

Bagaimanapun ketika itu TFC gagal membawa pulang piala berprestij itu selepas tewas 1-4 kepada Perak FC dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan di Stadium Shah Alam, Selangor.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)