PCA: Singapura diharap dapat beri kelonggaran kepada pekerja, diplomat Malaysia

PCA: Singapura diharap dapat beri kelonggaran kepada pekerja, diplomat Malaysia

SINGAPURA,. Malaysia berharap kerajaan Singapura dapat memberikan sedikit kelonggaran kepada pekerja dan diplomat dari Malaysia di bawah skim Aturan Perjalanan Berkala (PCA) untuk menjalani kuarantin di kediaman mereka sendiri.

“Ini serupa dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan Malaysia kepada pekerja dan diplomat dari Singapura di Malaysia,” kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengadakan lawatan kerja dua hari ke republik ini.

Bercakap kepada media pada Ahad, Hishammuddin berkata meskipun PCA tidak ditangguhkan, beliau memahami bahawa prosedur operasi standard (SOP) atau syarat yang ditetapkan adalah lebih ketat dan semua pekerja dari Malaysia termasuk diplomat harus menjalani pengasingan di bawah Notis Duduk Di Rumah (SHN) sekembalinya mereka ke Singapura di kemudahan yang ditentukan.

Skim itu, yang dipersetujui kedua-dua negara, telah bermula pada pertengahan Ogos tahun lepas.

Pada pertemuan Hishammuddin dengan rakan sejawatnya dari Singapura iaitu Dr Vivian Balakrishnan pada Ahad, perbincangan mereka memfokus kepada isu seperti meneruskan semula pergerakan rentas sempadan secara berperingkat, pelaksanaan vaksinasi di peringkat kebangsaan dan mesyuarat pemimpin kedua-dua negara yang akan datang.

Mengulas langkah menyambung semula Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), Hishammuddin berharap skim itu boleh disambung secepat mungkin untuk memudahkan pergerakan perjalanan bagi tujuan perniagaan mahupun rasmi.

Ketika ini, Singapura menangguhkan pelaksanaan RGL dengan Malaysia selama tiga bulan mulai 1 Feb.

Menyentuh isu Gelembung Perjalanan Udara, beliau berkata rundingan antara kedua-dua pihak masih berlangsung.

“Kami faham bahawa cadangan itu memiliki cabarannya yang tersendiri, oleh itu kami menggesa agensi peneraju kedua-dua pihak agar mempergiat usaha masing-masing dan mencari jalan untuk melaksana serta mengoperasikannya,” kata beliau.

Menyentuh perjanjian yang dicapai untuk membaca dan mengesahkan secara digital sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara, Hishammuddin berkata : “Kami berharap perjanjian ini akan membuka jalan kepada perbincangan lebih lanjut antara Malaysia dan Singapura memuktamadkan perjanjian bagi memvaksinasi pengembara untuk meneruskan perjalanan rentas sempadan dalam masa terdekat.

“Ini adalah nilai tambah kepada rundingan yang sedang berlangsung namun dari sudut operasi, lebih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing seperti melalui langkah menghubungkan platform masing-masing iaitu MySejahtera bagi Malaysia dan TraceTogether bagi Singapura,” katanya.

Satu persetujuan telah dicapai antara Pejabat Bangsa Pintar dan Kerajaan Digital Singapura dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia untuk membaca serta mengesahkan sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara secara digital.

Sebagai rumusan, Hishammuddin berkata kedua-dua kerajaan kini bekerja keras untuk melaksanakan apa yang sudah dirancang “demi kebaikan dan manfaat rakyat di kedua-dua negara.”

“Untuk kembali kepada keadaan biasa sudah tentu memakan masa. Kami faham ada keluarga yang terpaksa berpisah namun kami perlu mengambil kira faktor terpenting iaitu kesihatan awam.

“Kami perlu menyedari bahawa rancangan kami akan sukar dilaksanakan jika jumlah jangkitan terus meningkat – inilah hakikat sebenarnya. Tetapi yakinlah bahawa kedua-dua kerajaan akan meneruskan rundingan namun kejayaannya bergantung kepada peranan yang kita semua mainkan untuk mengurangkan jumlah jangkitan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )