PDRM FA jamin masalah tunggakan gaji tidak berulang musim ini

PDRM FA jamin masalah tunggakan gaji tidak berulang musim ini

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) memberi jaminan bahawa masalah tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai skuad ‘The Cops’ tidak akan berlaku pada musim ini.

Jaminan berkenaan diberikan oleh Pengurus Pasukan PDRM, Datuk Khalil Azlan Chik yang memaklumkan pengurusan pasukan sedang berusaha mencari penaja bagi menampung perbelanjaan skuad ‘The Cops’ dalam mengharungi saingan Liga Super pada musim ini.

Beliau berkata suntikan dana daripada syarikat telekomunikasi tempatan, redONE Network Sdn Bhd mampu mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung pasukan berkenaan.

“Dari sudut perbelanjaan (pasukan), mestilah berhemat. Perbelanjaan (pada musim ini) adalah mengikut belanjawan yang dipersetujui oleh ahli majlis PDRM, jadi saya jamin masalah gaji tidak akan berulang sekiranya penaja tidak lari,” kata beliau yang juga Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara PDRM FA dengan syarikat telekomunikasi berkenaan, yang turut disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor yang merupakan Presiden PDRM FA di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Setiausaha Kehormat PDRM FA, ACP Zulkefly Yahya menandatangani perjanjian bagi pihak PDRM FA, manakala redONE diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farid Yunus. Perjanjian penajaan itu adalah bagi tempoh setahun.

Ditanya mengenai sasaran pasukan berkenaan, Khalil memaklumkan pengurusan pasukan menyasarkan kelompok lima pasukan terbaik dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Berkongsi pandangan sama adalah Zulkefly yang memaklumkan bahawa pengurusan pasukan sedang berusaha menyelesaikan tunggakan pemain skuad ‘The Cops’ yang dilaporkan mencecah hampir RM1 juta secara berperingkat sebelum tarikh akhir pada 31 Mac ini.

Beliau memaklumkan hampir kesemua pemain telah menyatakan persetujuan dengan proses bayaran tunggakan gaji berkenaan, kecuali beberapa pemain import yang sudah kembali ke negara masing-masing.

“Kita telah menyediakan satu jadual pembayaran gaji kepada pemain dan kita sedang berunding dan hampir 90 peratus sudah bersetuju, dan pembayaran akan mula dilakukan sebelum 31 Januari ini,” katanya yang merupakan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai kuota pemain import skuad ‘The Cops’ pada musim ini, Zulkefly memaklumkan mereka berjaya mendapatkan khidmat dua pemain import dari Korea Selatan, manakala sebahagian besar pemain pasukan berkenaan bakal diwakili daripada kalangan anggota polis sendiri.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memberi peringatan kepada PDRM, Melaka dan Kelantan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain pasukan masing-masing selewat-lewatnya 31 Mac ini, atau berdepan penyingkiran daripada Liga Malaysia.

PDRM FA melantik bekas pemain pertahanan Terengganu era 90-an, Mohamad Ishak Kunju Mohamad sebagai pengendali skuad ‘The Cops’ pada musim ini, dan pasukan berkenaan akan menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras sebagai venue utama pada musim ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)