PDRM kutip RM49.6 juta bayaran saman trafik dari Jan-Okt – KPN
KUALA LUMPUR,. Seramai 105,260 pengguna jalan raya seluruh negara telah menjelaskan kompaun saman trafik melibatkan nilai kutipan sebanyak RM49.6 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tindakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan sistem pembayaran saman secara tanpa tunai dan digital menerusi aplikasi ‘MyBayar Saman’ telah memudahkan orang ramai menjelaskan saman tertunggak mereka.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada JSPT atas inisiatif ini yang jelas menyokong usaha pembangunan digital negara sekali gus memudahkan urusan pembayaran saman tertunggak oleh orang ramai.
“Selain itu, mengikut rekod dari Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 37 Kaunter Diskaun Saman 50 peratus telah dibuka di seluruh negara dengan jumlah kutipan saman sebanyak RM10.37 juta,” katanya.
Acryl Sani berkata demikian sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran JSPT di Bukit Aman, di sini, hari ini.
— Bernama