PDRM tahan 15 individu terlibat sindiket “phone scam”

PDRM tahan 15 individu terlibat sindiket “phone scam”

KUALA LUMPUR ,. Polis menahan 15 individu yang disyaki terlibat sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) yang menyasarkan mangsa dari Taiwan, dalam serbuan dilakukan di sekitar ibu negara.

Daripada jumlah itu 12 adalah warga Taiwan terdiri 11 lelaki dan seorang wanita serta baki tiga wanita merupakan warga China, yang kesemuanya berusia lingkungan 22 hingga 43 tahun.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata serbuan berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan sejak beberapa bulan lepas.

“Hasil serbuan juga menemukan satu buku mempunyai beberapa muka surat yang ditulis dalam bahasa Cina dan dipercayai skrip bagi penipuan itu.

“Polis turut merampas antaranya 19 unit telefon bimbit, sembilan keping pasport warganegara asing serta wang tunai RM2,745 dan US$200,” katanya dalam kenyataan pada Khamis menambah bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil siasatan PDRM berjaya mendapatkan arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa kesemua 15 individu itu di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan iaitu Pakat Jahat Jenayah.

“Kesemua tangkapan itu telah dituduh pada hari ini di Mahkamah Majistret Jalan Duta dan kesemua mereka mengaku tidak bersalah serta direman di Penjara Sungai Buloh sehingga tarikh sebutan semula pada 19 Mei ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )