PDRM terima 16 dron berkuasa tinggi

KANGAR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima 16 dron berkuasa tinggi yang diluluskan oleh kerajaan pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata dron tersebut akan dikawal oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan seluruh negara terutama di kawasan yang tidak berpagar.

“Sebanyak RM48 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan menerusi RMK-12 RT1 (Rancangan Tambahan 1) melalui proses tender oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi perolehan dron ini. Kita harap dengan adanya dron ini boleh membantu meningkatkan operasi dan tahap keselamatan di kawasan sempadan terutama yang tidak berpagar, bagi mengekang aktiviti jenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad dan Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Katanya, kawasan sempadan tidak berpagar itu adalah sejauh 44.55 kilometer yang digunakan oleh penyeludup melalui lorong tikus sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata dron yang bakal diperoleh nanti mampu terbang di udara lebih daripada empat jam.

Selain itu, sebanyak 175 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) akan diterima PDRM dalam masa terdekat sekali gus membantu meningkatkan tahap operasi pihaknya di seluruh negara.

Dalam pada itu, anggota risik yang bertugas di kawasan sempadan akan dilengkapi dengan inner bullet proof vest sebanyak 1,000 set bagi memberikan perlindungan keselamatan kepada mereka.

Katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi pakaian tersebut dan beliau mengarahkan untuk anggota risik terus tingkatkan tahap operasi di kawasan sempadan bagi memperoleh maklumat penting.

“Kumpulan risik kena kuat, jadi kita nak kekang aktiviti jenayah di sempadan,” katanya yang turut membuat tinjauan di sempadan Kedah dan Perlis hari ini.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )