PDRM umum tujuh pertukaran pegawai kanan

PDRM umum tujuh pertukaran pegawai kanan

KUALA LUMPUR,. Ketua Databank DNA Makmal Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Datuk Hussein Omar Khan adalah antara tujuh pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan pada Rabu berkata semua pertukaran itu berkuat kuasa 21 Oktober depan.

Mendahului senarai adalah Hussein yang akan memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri dengan memangku pangkat DCP.

Pertukaran lain melibatkan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Kedah, SAC Dr Zainal Abidin Sabtu yang bakal menjadi Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Sempadan Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

Asmawati turut memaklumkan pertukaran Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Tampoi, Johor, ACP Paul Khiu Khon Chiang sebagai Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Jabatan Perdana Menteri dengan memangku pangkat SAC.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Pahang ACP Zundin Mahmood pula akan menjadi Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Pulau Pinang dengan memangku pangkat SAC.

Arahan pertukaran itu turut menyaksikan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan / Operasi Kontinjen Pahang Supt Mohd Yusri Othman akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh, Pahang dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kontinjen Negeri Sembilan DSP Amran Mohd Gani pula akan menjadi Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan memangku pangkat Supt.

Pertukaran lain melibatkan Bahagian Latihan Bukit Aman DSP Zulkifli Mahmood yang akan bertugas sebagai Komandan Pusat Latihan Marin Tampoi, Johor.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)