PDZ, Sanichi akan bangunkan bersama hab logistik e-dagang di Johor

PDZ, Sanichi akan bangunkan bersama hab logistik e-dagang di Johor

KUALA LUMPUR,. Firma perkapalan PDZ Holdings Bhd dan pengeluar acuan ketepatan Sanichi Technology Bhd akan mereka bentuk, membangun dan menguruskan bersama hab logistik e-dagang serantau di kawasan seluas 94.7 hektar di Desaru, Johor.

Kedua-dua syarikat tersenarai itu berkata mereka telah memuktamadkan perjanjian kerjasama yang akan membawa kepada penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) bagi melaksanakan projek itu.

“Tapak lokasi disasarkan seluas 234 ekar bagi hab logistik e-dagang itu adalah bertujuan untuk memudahkan aktiviti pecah pukal, pembungkusan dan pengedaran di seluruh Asia Tenggara,” kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menerusi kerjasama itu, PDZ akan menyediakan kepakaran teknikal dalam pengurusan logistik bagi mereka bentuk dan melaksanakan platform digital berautomasi selain prasarana teknologi maklumat dan komunikasi bertaraf dunia bagi memudahkan operasi hab logistik e-dagang.

Sanichi, syarikat kejuruteraan ketepatan dan pemaju hartanah akan bertanggungjawab mendapatkan tapak serta permit dengan agensi kerajaan berkaitan, ditambah dengan mereka bentuk, membangunkan dan membina keseluruhan tapak seluas 94.7 hektar itu.

Menurut kedua-dua syarikat itu, kemungkinan ada pemegang kepentingan yang masih belum dikenal pasti akan terlibat dalam usaha niaga tersebut, sambil menambah mereka akan memuktamadkan senarai lengkap pemegang kepentingan dalam masa 90 hari daripada permeteraian perjanjian bagi menubuhkan SPV untuk melaksanakan projek mega itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)