Pegawai ICQS Padang Besar disaring tiada yang positif setakat ini

Pegawai ICQS Padang Besar disaring tiada yang positif setakat ini

PUTRAJAYA, 28 Mei — Pegawai di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar yang terdedah kepada penuntut Thailand yang positif COVID-19 telah disaring dan setakat ini tiada yang positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pegawai imigresen di ICQS terdedah kepada enam pelajar Thailand itu yang pulang dari Arab Saudi ketika proses pemeriksaan dan mengecap pasport.

“Apabila (pelajar) sampai di Thailand, mereka menjalani ujian dan didapati positif dan ia dimaklumkan kepada kita (Malaysia).

Jadi pegawai imigresen terlibat ada terdedah kepada mereka dan mereka sebagai kontak rapat telah disaring. Setakat ini tidak ada yang positif tetapi kena patuh kepada 14 hari kuarantin kerana terdedah dengan kes positif,” katanya dalam sidang harian perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penghantaran pulang pelajar Thailand menggunakan pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah kerjasama yang dipersetujui antara Kerajaan Malaysia dan Thailand.

Dilaporkan semalam ICQS Padang Besar ditutup susulan enam pelajar Thailand yang masuk ke negara jiran itu menerusi pintu sempadan di Padang Besar disahkan positif COVID-19.

Seramai 34 orang petugas ICQS terdiri daripada kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Imigresen Malaysia sedang menjalani proses kuarantin di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar.

Mengenai penggunaan kit ujian pantas (RTK) antigen agak rendah setakat ini iaitu hanya 3,708 ujian, Dr Noor Hisham berkata penggunaan akan ditingkatkan dalam tempoh terdekat di klinik dan depot tahanan imigresen.

Beliau berkata 200,000 unit RTK antigen ditempah dan telah diagihkan kepada Sabah, Sarawak serta klinik dan turut dilaksanakan di KLIA dan KLIA2 yang memerlukan tempoh proses yang cepat dan kaedah ini mampu memberi keputusan ujian dalam masa 45 minit.

“Daripada segi keupayaan kita (Kementerian Kesihatan) menjalankan ujian telah dipertingkatkan. Jadi tempat jauh seperti pedalaman memerlukan kabinet biokeselamatan supaya kita boleh laksanakan ujian RTK antigen,” katanya.

Selain itu, beliau berkata menjalankan ujian melalui kaedah “Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction” (RT-PCR) juga adalah salah satu pilihan dengan kapasiti sekarang hampir 30,000 daripada 8,000 pada mulanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )