Pegawai JAS sudah dilatih dalam bidang masing-masing – saksi

Pegawai JAS sudah dilatih dalam bidang masing-masing – saksi

JOHOR BAHRU,. Mahkamah Sesyen di sini diberitahu setiap pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai tahap kepakaran tertinggi dalam bidang masing-masing, kata saksi dalam perbicaraan kes pembuangan sisa toksik dalam Sungai Kim Kim.

Ketua Penolong Pengarah Kanan di Seksyen Penilaian dan Pembangunan, Bahagian Bahan Berbahaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya, Ir Azlan Ahmad, 50, berkata setiap pegawai JAS perlu menjalani latihan termasuk menghadiri kursus intensif Certified Environmental Professional in Scheduled Waste Inspection (CePSWI).

“Polisi jabatan (JAS) menetapkan untuk menjadi subject matter of expert (kepakaran tertinggi), pegawai yang berkenaan hendaklah dilatih secara intensif sama ada melalui kursus di dalam atau luar negara untuk menjadikan beliau menjadi pakar dalam bidang tersebut,” kata saksi kedua pendakwaan itu.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Syafiq Mohd Ghazali pada prosiding hari ketiga perbicaraan kes itu, di sini hari ini.

Azlan memberitahu melalui kursus dihadiri tersebut, pegawai JAS akan didedahkan dengan pelbagai kaedah termasuk untuk mengkelaskan bahan buangan berjadual dan bukan hanya tertumpu kepada usaha melakukan pemeriksaan atau penguatkuasaan ke atas sesebuah premis atau kilang, semata-mata.

Muhammad Syafiq: Tadi, peguam bertanyakan bahawa adakah kamu mempunyai kuasa untuk membuat pengelasan bahan-bahan buangan berjadual. Jawapan kamu ialah kamu ada kuasa tersebut tetapi di bawah Seksyen 37(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) ia menyatakan bahawa kamu hanya ada kuasa menyiasat. Boleh kamu jelaskan lebih lanjut perkara ini kepada mahkamah?

Azlan: Pegawai Jabatan memang mempunyai kuasa menyiasat, ketika pegawai memasuki mana-mana premis atau untuk membantu siasatan, mereka perlu mengetahui secara khusus bahawa sesuatu buangan itu adalah tertakluk atau tidak pada peraturan sekeliling (Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Jadi, pegawai secara khusus apabila ditempatkan (ditugaskan), hendaklah menjalankan tugas penyiasatan termasuk membuat pengelasan (bahan buangan). Atas dasar sedemikian, saya menjadi saksi kepada kes ini.

Muhamad Syafiq: Berdasarkan surat JAS Johor bertarikh 17 Mac 2019 yang dipanjangkan kepada kamu, peguam ada mencadangkan bahawa JAS Johor (sehingga 17 Mac) sebenarnya tidak tahu apa bahan buangan tersebut dan dalam jawapan, kamu nyatakan tidak bersetuju. Kenapa?

Azlan: Seperti saya maklumkan tadi, secara asasnya, pegawai tersebut sudah pun mendapat maklumat awal berkaitan dengan bahan buangan tersebut.

(Tetapi) Semuanya perlu dirujuk kepada bahagian saya (Bahagian Bahan Berbahaya JAS Putrajaya) untuk mendapatkan kepastian bahawa bahan buangan tersebut SW331 ‘enap cemar minyak’.

Pemandu lori syarikat pemprosesan tayar terpakai N. Maridass, 35, didakwa melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dengan menggunakan lori dan semi trailer tangki sawit, tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Tiga pengarah syarikat pemprosesan tayar terpakai itu pula iaitu Wang Jing Chao, 34; Yap Loke Liang,36, dan Sim Wei Der, 50, didakwa bersubahat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Keempat-empat mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lepas di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim.

Maridass didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun selain denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Wang, Yap dan Sim pula didakwa di bawah Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(3) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Selain berdepan pertuduhan itu, Wang, Yap dan Sim turut dikenakan 15 lagi pertuduhan masing-masing di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, akta yang sama.

Pertuduhan itu adalah kerana gagal membuat pemberitahuan mengenai buangan terjadual dan gagal menjalankan pemantauan berkala seperti ditetapkan mengikut akta itu.

Selain Muhammad Syafiq, pendakwaan turut dikendalikan TPR JAS Putrajaya Farra Nor Azura Jumuddin dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin.

Maridass diwakili peguam S. Rathakrishna, Wang dan Yap diwakili peguam G. Subramaniam Nair manakala Sim diwakili Joshua Tay.

Perbicaraan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob bersambung 10 Mac tahun hadapan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )