Pekapal minta kerajaan wujudkan Suruhanjaya Maritim Bebas

Pekapal minta kerajaan wujudkan Suruhanjaya Maritim Bebas

KUALA LUMPUR,. Majlis Pekapal Kebangsaan Malaysia (MNSC) menggesa kerajaan untuk campur tangan dalam menangani masalah pekapal, selain menubuhkan Suruhanjaya Maritim Malaysia (MARCOM) iaitu agensi penguatkuasaan bebas bagi mengawal selia penyedia perkhidmatan, bayaran atau caj serta amalan tidak wajar dalam sektor pengangkutan maritim.

Pengerusi MNSC Datuk Dr Andy Seo berkata penubuhan MARCOM adalah langkah penting untuk memastikan pekapal mampu mengharungi keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini dan sekiranya gagal, wujud impak yang akan menjejaskan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Kerajaan telah bertanya kepada banyak sektor termasuk bank dan pemilik tanah untuk mengecualikan kadar faedah dan mengurangkan kadar sewa hartanah komersial.

“Tindakan penyedia perkhidmatan logistik termasuk syarikat perkapalan dan pengendali depot adalah bertentangan dengan inisiatif kerajaan. Sehubungan itu, kami berharap kerajaan boleh campur tangan dan memberi amaran kepada mereka yang tidak bertanggung jawab menaikkan kos ketika tempoh yang kritikal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Seo, tindakan pengangkut biasa bukan kapal telah memberikan impak kepada pekapal antaranya mengenakan bayaran atau caj tinggi berbanding menghentikan caj itu ketika pekapal dan pihak berkepentingan lain mengharungi keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan.

Caj baharu itu termasuk surcaj sulfur rendah, bayaran pemulihan agensi tambahan dan yang terkini ialah bayaran pintu depot semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat oleh depot di luar pelabuhan.

“Dengan mengambil kira tekanan luar biasa yang dihadapi pekapal dan keupayaan mereka untuk mengekalkan perniagaan ketika COVID-19 dan PKP, MNSC amat kecewa dengan caj perkhidmatan logistik yang dikenakan sektor tidak terkawal ini dan ini akan menjejaskan pengimport dan pengeksport khususnya dalam tempoh ini,” kata Seo.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )