Pekerja warga asing diwajibkan jalani saringan kesihatan COVID-19

Pekerja warga asing diwajibkan jalani saringan kesihatan COVID-19

PUTRAJAYA, 4 Mei  — Kerajaan mewajibkan pekerja warga asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial menjalani saringan kesihatan COVID-19 (ujian calitan) bagi membendung penularan wabak itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kos bagi saringan kesihatan tersebut perlu ditanggung oleh majikan.

“Kementerian Kesihatan bercadang memulakan ujian calitan ini di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” katanya dalam sidang media harian di sini, hari ini.

Tegasnya, kerajaan juga akan bertindak menutup premis yang dikesan terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja dengan serta-merta.

Jelasnya, Kementerian Kerja Raya telah menutup sebuah tapak pembinaan di Ampang selepas didapati menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 selama dua hari berturut-turut.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur bagi Parcel A dan B yang meliputi Jalan 6/3A dan 9/3A, serta Pasar Borong Kuala Lumpur akan tamat hari ini .

Beliau berkata PKPD di Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F Pusat Bandar Utara dilanjutkan sehingga 12 Mei ini atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu,  beliau berkata PKPD di  Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat telah tamat semalam.

“PKPD di Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawasan sekitar Jalan Masjid India turut ditamatkan semalam,” katanya.

–Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)