Pelabuhan kembali sebagai penjana utama ekonomi Melaka
MELAKA,. Usaha mengembalikan semula aktiviti pelabuhan sebagai salah satu penjana ekonomi yang penting di Melaka sebagimana suatu ketika dahulu dilihat sebagai satu langkah yang realistik dan mampu dilaksanakan dengan berkesan, kata seorang anggota exco hari ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata ia mampu direalisasi kerana Melaka mempunyai kedudukan strategik dengan persisir pantai lebih 30 km selain mempunyai pelabuhan pelbagai fungsi serta kemudahan dan pelabuhan kecil pendaratan ikan.
“Antara pelabuhan utama negeri Melaka adalah Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling dan Pelabuhan Kuala Linggi. Dalam masa sama, sebuah terminal kapal persiaran antarabangsa juga sedang dibangunkan di Melaka Gateway dijangka siap penghujung tahun hadapan,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini media melaporkan Pelabuhan Tanjung Bruas dibangunkan semula secara komersil dengan kos RM160 juta dan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) di Melaka Gateway sedang dibangunkan dengan kos RM682 juta.
Mengulas mengenai pelaburan RM160 juta Pelabuhan Tanjung Bruas itu, Mohd Sofi berkata ia mengubah wajah pelabuhan itu sebagai pelabuhan kontena yang mana bakal menjadikan pelabuhan itu setaraf pelabuhan utama Malaysia seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang.
“Sebelum ini (Pelabuhan Tanjung Bruas) hanya beroperasi sebagai pelabuhan untuk kerja perpindahan barangan antara kapal dan persinggahan untuk mendapatkan bekalan air bersih, bakal berubah wajah menjadi pelabuhan kontena,” katanya.
Mohd Sofi berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Pelabuhan Tanjung Bruas Sdn Bhd akan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan asas di pelabuhan itu bagi memastikan ia dapat digunakan kapal kontena untuk tujuan import dan eksport pada masa akan datang.
Katanya Pelabuhan Kuala Linggi, milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, bakal berubah menjadi Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, yang mana projek itu akan dimulakan selewat-lewatnya September tahun depan menjadikan perairan Melaka Barat sebagai hab perdagangan serantau.
“Pelabuhan itu akan diambil alih dan dijadikan hub perdagangan pertukaran barang yang sebelum ini hanya dijalankan secara kecil dan sederhana dengan kapal-kapal dari Indonesia, dinaik taraf dengan bakal menerima kapal-kapal dagang yang lebih besar,” kata Mohd Sofi.
Beliau berkata projek pembesaran pelabuhan dan mendalamkan muara Kuala Linggi bakal memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan apabila beroperasi mampu menjana keuntungan untuk kerajaan negeri selain memberi persaingan kepada pelabuhan negara jiran.
Mohd Sofi berkata MICT pula bakal menjadi hub perhentian kapal-kapal persiaran mewah untuk datang ke negeri Melaka melalui laluan air yang bakal meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri ini.
“Dijangka sebaik siap, projek Melaka Gateway akan menghasilkan 45,000 hingga 60,000 pekerjaan yang mana boleh dimanfaatkan oleh masyarakat sekitarnya dan juga membuka peluang kepada penjaja-penjaja kecil untuk meningkatkan hasil jualannya nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Adly Zahari ketika membantangkan Belanjawan Negeri Melaka 2020 dan mengulung sesi perbahasan belanjawan itu baru-baru ini menjelaskan potensi besar pelabuhan sebagai penjana ekonomi Melaka dengan purata 100,000 kapal melalui Selat Melaka saban tahun.
Katanya potensi itu juga dapat dilihat apabila Pelabuhan Tanjung Bruas mencatat peningkatan kargo daripada 644,719 tan pada 2016 kepada 715,911 tan tahun ini, selain peningkatan kapal menggunakan pelabuhan itu daripada 408 buah pada 2016 kepada 762 buah tahun ini.
“Pelabuhan itu juga sejak April lepas mengendalikan kontena untuk import dan eksport. Sehingga kini 5,039 kontena dikendalikan dan dijangka meningkat antara 10,000 ke 15,000 kontena Disember ini. Kemudahan Roll on-Roll Off (RORO) juga akan mula beroperasi mulai tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata pembangunan KLIP pula melibatkan komponen tank farm, ship repair yard, fabrication yard dan perkhidmatan pelabuhan serta maritim lain mampu mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan dalam sektor industri vokasional dan pengurusan, serta sektor hiliran berkaitan.
Adly berkata projek MICT dikenalpasti sebagai salah satu projek nasional terdiri daripada Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta jeti kapal persiaran dan apabila siap kelak, dijangka mampu menerima kapal persiaran terbesar di dunia selain digunakan untuk kapal persiaran antarabangsa, domestik dan juga feri.
— BERNAMA