
Pelabur dipelawa bantu pengeluaran produk pelancongan Melaka
MELAKA,. Kerajaan negeri mempelawa pelabur domestik untuk membantu mengeluarkan pelbagai produk beridentitikan pelancongan Melaka dalam usaha memperkenalkan negeri itu secara lebih meluas sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata usaha itu mampu memberi peluang kepada pelancong untuk membuat pilihan dan memiliki pelbagai produk sebagai tanda kenang-kenangan.
“Kita akan memilih produk bercirikan Melaka asli termasuk yang ditempatkan dalam galeri untuk dijadikan replika pelbagai bentuk atau rantai kunci untuk pelancong miliki sebagai kenang-kenangan dan produk yang dikeluarkan itu akan disertakan dengan sijil pengesahan keasliannya.
“Justeru itu, saya mengalu-alukan pelabur yang ingin melabur dalam industri pelancongan Melaka untuk berjumpa terus dengan Ketua Menteri atau membuat permohonan kepada portfolio pelancongan, warisan dan kebudayaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pembukaan Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Terdahulu, Mohd Ali dalam ucapannya meminta kerajaan negeri memfokus kepada pelancongan domestik bagi merancakkan semula sektor itu di Melaka yang dilihat terganggu susulan penularan pandemik COVID-19.
Sementara itu, Muhamad Jailani berkata pemulihan sektor pelancongan negeri setakat ini mencapai tahap 68 peratus berikutan masih banyak program tarikan pelancongan yang belum dapat dijalankan termasuk aktiviti kebudayaan, kesenian dan pelancongan alami.
“Kita akan memaksimumkan aktiviti tarikan pelancong khususnya domestik seperti konsert dan persembahan muzikal kerana mereka bukan hanya makan dan bersiar ketika berada di Melaka tetapi dapat santai mendengar atau menonton persembahan muzik dan seni.
“Bagaimanapun, kita perlu menunggu kebenaran atau pengumuman daripada kerajaan bagi pelaksanaan aktiviti seumpama ini kerana kekangan akibat penularan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, terdapat 786 lokasi panas dan produk pelancongan Melaka terdiri daripada pelbagai subsektor yang berupaya menjadi tarikan pelancong ke negeri itu dan ia akan diketengahkan kepada pelancong secara berperingkat mengikut keperluan.
— BERNAMA