Pelajar hasilkan peranti imbas cap jari hidupkan motosikal
BACHOK,. dengan masalah kecurian motosikal, dua pelajar tampil dengan idea mencipta peranti untuk menghidupkan motosikal menggunakan alat imbasan jari.
Ciptaan pintar itu dihasilkan dua pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektronik Kolej Vokasional (KV) Bachok, Wan Amiruddin Wan Amran, 19, dan Adeeb Aideen Mat Yusof, 19, sekali gus berjaya memenuhi projek tahun akhir mereka.
Wan Amiruddin berkata, projek yang dinamakan ‘Fingerprint Bike Starter’ itu terhasil selepas melihat banyak kecurian motosikal yang berlaku ketika ini.
“Sistem ini sukar untuk diceroboh kerana motosikal yang dipasangkan ‘Fingerprint Bike Starter’ ini hanya akan hidup menerusi kesepadanan cap jari pemilik atau jari individu yang berada dalam rekod sistem sahaja.
“Setiap ‘Fingerprint Bike Starter’ boleh menyimpan 127 kod cap jari dalam sistem pemasangan dan hanya pemilik sah yang direkodkan sahaja boleh menghidupkan motosikal sekaligus mengelak kecurian motosikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ‘Inreach Fair and KV Skills Competition’ 2019 di KV Bachok, Tangok pada Rabu.
Wan Amiruddin berkata mereka berdua mengambil masa enam bulan untuk mencipta sistem itu termasuk membina prototaip dan menguji sistem pada motosikal yang menggunakan penghidup elektrik.
“Gerak kerja ini melibatkan beberapa cabaran terutamanya memasukkan sistem kod yang diaplikasi kepada mesin peralatan dan pengaturcaraan serta sistem menghidupkan motosikal dan kereta yang ada butang elektronik boleh menggunakan cap jari,” katanya.
Kedua-dua mereka membelanjakan kira-kira RM500 untuk membangunkan projek berkenaan dan yakin inovasi komponen yang dicipta itu boleh dipasarkan secara komersial.
Sementara itu, Adeeb Aideen berkata ciptaan mereka menggunakan perisian Arduino yang dilengkapi sistem rakaman suara dan paparan kristal cecair (LCD) dengan perkakasan elektronik seperti alat pengimbas jari yang diperolehi dari luar negara.
Katanya sehingga kini mereka sudah menerima tempahan memasang sistem keselamatan itu dalam kalangan pelajar dan pensyarah kolej dan mampu menyiapkan satu pemasangan dalam tempoh 12 hari.
Sementara itu, Pengarah KV Bachok Rusli Idris berkata ciptaan kedua-dua pelajar itu akan dipatenkan sebagai hak eksklusif bertujuan menambahkan lagi nilai komersial produk berkenaan pada masa hadapan.
— BERNAMA