Pelajar SBP dapat sesuaikan diri dengan norma baharu

IPOH,. Rimas, kekok, tidak selesa dan ada kalanya menyusahkan. Itu antara keluhan pelajar apabila mereka mula-mula mengamalkan norma baharu, seperti pemakaian pelitup muka, melakukan pemeriksaan suhu badan serta perlu kerap mencuci atau memakai pensanitasi tangan.

Malah, lebih mencabar terutama bagi pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang sepanjang masa tinggal di asrama, aktiviti petang mereka kini terbatas kerana tidak boleh bersukan melibatkan ramai pemain seperti ragbi dan bola sepak, berikutan perlu mematuhi penjarakan fizikal.

Namun, ibarat peribahasa alah bisa tegal biasa. Selepas beberapa bulan mengamalkan norma baharu itu, yang antara prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, pelajar SBP kini boleh menyesuaikan diri dengan amalan tersebut, yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Bagi pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini, Iyad Phaqif Khairuddin, 16, pada awalnya beliau berasakan keperluan memakai pelitup muka ketika sesi persekolahan, selain perlu mematuhi penjarakan fizikal termasuk semasa di dewan makan mahupun solat di surau asrama, merupakan sesuatu yang sangat janggal.

“Misalnya, apabila solat perlu bawa sejadah sendiri, saf perlu dijarakkan, tazkirah perlu dipercepatkan atau kadangkala tiada langsung. Memang agak terkesan pada mulanya. Tapi lama-kelamaan kami (pelajar) boleh membiasakan diri,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu yang berasal dari Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Mohd Fareez Fairuz Fais, 16, juga dari STAR, berkata amalan norma baharu seperti keperluan kerap mencuci tangan atau memakai pensanitasi tangan walaupun kelihatan leceh, beliau mengakui bahawa ia bukan sahaja dapat mencegah COVID-19, malah penyakit lain.

Sebagai pengawas, Mohd Fareez berkata beliau turut membantu pihak sekolah memastikan amalan norma baharu dipatuhi pelajar lain, seperti beratur ketika masuk ke koperasi yang mengehadkan hanya lima orang pada satu-satu masa.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid STAR Shahnun Abdul Ghani berkata, pihak sekolah melaksanakan pendekatan secara mendidik, hebahan dan penguatkuasaan, bagi memastikan pelajar mahupun kakitangan termasuk guru, mengamalkan norma baharu seperti yang ditetapkan.

Beliau berkata pendekatan secara mendidik adalah dengan memberi penerangan kepada pelajar, antaranya mengenai bahaya COVID-19 dan cara mengelak jangkitan, dengan mematuhi peraturan yang digariskan pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pihak sekolah juga buat hebahan menggunakan pembesar suara mengingatkan pelajar supaya amalkan norma baharu dan patuhi SOP. Melalui penguatkuasaan, ada guru ditugaskan memantau pelajar terutama pada waktu rehat. Begitu juga di asrama, warden akan memantau dorm, dewan makan serta surau,” katanya.

Shahnun menjelaskan, berikutan risiko jangkitan COVID-19 melalui sentuhan, amalan bersalaman antara pelajar dan guru kini tidak dilakukan, selain perhimpunan pagi pada setiap Isnin juga tidak diadakan.

Katanya bagi memastikan penjarakan fizikal setiap kali berada di dewan makan asrama, pihak sekolah menetapkan dua waktu berbeza iaitu pelajar tingkatan satu, dua dan tiga, akan makan terlebih dahulu selepas tamat sesi persekolahan pada 2 petang, diikuti pelajar tingkatan empat serta lima yang pulang setengah jam kemudian.

“Pendekatan sama turut diambil, misalnya untuk solat Maghrib berjemaah di surau asrama dengan pelajar tingkatan satu, dua dan tiga, akan solat terlebih dahulu sebaik selepas azan, manakala pelajar tingkatan empat dan lima akan makan. Selepas kumpulan pertama selesai solat, kumpulan kedua pula solat.

“Untuk solat Jumaat, walaupun surau boleh memuatkan 600 pelajar, pihak sekolah buat sistem penggiliran, kerana keperluan untuk penjarakan fizikal. Pelajar yang tidak dapat solat minggu ini akan solat pada minggu depan dan sebaliknya,” katanya bahawa sekolah itu mempunyai 655 pelajar dan 59 guru.

Mengenai norma baharu di kesemua 28 dorm di sekolah berkenaan, Shahnun berkata setiap dorm menempatkan 20 hingga maksimum 25 pelajar, dengan ada daripadanya mempunyai katil dua tingkat selain katil ‘bujang’.

Beliau berkata untuk memastikan penjarakan fizikal, satu lokar akan diletakkan di antara setiap katil dan bagi katil bertingkat, sehelai kain menyerupai tirai akan dipasang pada bahagian atas dan dilabuhkan hingga ke bawah.

Shahnun berkata pihak pengurusan sekolah juga merancang pelbagai aktiviti seperti kelas data dan program komputer untuk mengisi masa pelajar, terutama pada hujung minggu kerana mereka tidak boleh terlibat dengan sukan melibatkan ramai peserta, selain dilarang keluar dari kawasan sekolah.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )