Pelancaran Program WeBBB: Mengangkat Usahawan Wanita Unggul di Malaysia

Kuala Lumpur,. Program Beauty dan Behaviour (WeBBB)” dilancarkan semalam di Dewan Mahkota, SME Corp Malaysia, dengan matlamat memperkasa usahawan wanita di Malaysia. Majlis perasmian ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menzahirkan sokongan padu terhadap program ini.

“Kaum wanita memainkan peranan yang amat penting dalam membina ekonomi negara. Dalam konteks perniagaan, wanita bukan sahaja menyumbang sebagai tenaga kerja, tetapi juga sebagai usahawan yang berdaya saing dan inovatif. Oleh itu, saya melihat Program WeBBB sebagai langkah proaktif untuk memajukan usahawan wanita di Malaysia,” kata Datuk Ewon dalam ucapannya.

Beliau turut menggalakkan semua wanita yang beraspirasi tinggi serta usahawan wanita yang ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk menyertai Program WeBBB ini.

“Saya yakin melalui pendedahan dan kursus yang komprehensif, para peserta Program akan dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh dan mengaplikasikannya untuk mengembangkan perniagaan masing-masing. Saya juga menyeru para peserta Program WeBBB agar membina rangkaian perniagaan yang kukuh sesama sendiri, supaya dapat saling menyokong antara satu sama lain. Saya amat menggalakkan agar peserta yang telah berjaya dalam sesuatu bidang berkongsi ilmu dan pengalaman dengan rakan-rakan lain,” tambahnya.

Dato Hajjah Faridah A. Jabbar, Pengerusi Kehormat Program WeBBB merangkap Yang DiPertua USAHANITA Malaysia, turut berkongsi harapan agar lebih banyak agensi kerajaan tampil menyokong pelaksanaan program ini.

“Madani Women Empowerment Program adalah inisiatif dari Akademi MPM kepada USAHANITA melalui Biro Generasi Baru dan Politik,” jelasnya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KUSKOP, SME Corp Malaysia, MARA, BSN, Tekun, serta semua pengajar yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Majlis pelancaran WeBBB turut mempamerkan pelbagai aktiviti dan modul praktikal yang disediakan, termasuk kursus, seminar, latihan praktikal, projek komuniti, dan mentorship.

Program ini bertujuan menyediakan alat dan kemahiran yang diperlukan oleh para peserta untuk berjaya dalam perniagaan dan menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

“Dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian dan pelbagai agensi, program ini dijangka membawa perubahan signifikan dalam landskap keusahawanan wanita di Malaysia. WeBBB bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kewangan, tetapi juga menekankan kepentingan kecerdasan intelektual, kecantikan dalaman, dan tingkah laku positif dalam membentuk usahawan yang holistik dan berdaya saing,” jelas Dato Hajjah Faridah.

Coach Norlukmal Mat Ghani dari EDC Malaysia, yang turut terlibat sebagai salah seorang tenaga pengajar dalam program ini, menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kementerian KUSKOP dan USAHANITA Malaysia atas peluang untuk berkerjasama.


Kalangan jemputan yang hadir pada program hari ini di Dewan Mahkota, SME Corp

“Kami dari EDC Malaysia menyokong usaha berterusan untuk pembangunan usahawan wanita di Malaysia.”

“Program WeBBB ini selari dengan aspirasi kami untuk membina jaringan usahawan wanita yang berilmu dengan pengetahuan terkini, dan akan terus mencari ilmu baru secara berterusan menerusi gagasan ‘University Through Life’ pada masa akan datang,” kata Coach Norlukmal.

“Dengan pelancaran Program WeBBB ini, diharapkan usaha memperkukuh ekonomi negara melalui keusahawanan wanita yang berdaya saing dan beretika akan mencapai kejayaan besar dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Madani, Kementerian, agensi, bank, GLC, GLIC, dan sektor swasta.

–GERBANGPOST

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )