Pelancaran Semarakkan Semula Industri Pelancongan, Seni Dan Budaya Negara

Saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang dengan jelas menyatakan bahawa selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, pelancongan domestik akan dibenarkan.

Langkah ini amat bertepatan pada masanya kerana sektor pelancongan berupaya membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi. Ini adalah kerana sektor pelancongan adalah sektor yang melibatkan sub-sektor ekonomi lain seperti perhotelan, inap desa, pengangkutan, pengusaha makanan di restoran dan gerai serta pemandu pelancong.

Sebagai menyokong pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya ingin menyarankan seluruh rakyat di negara ini mengambil peluang ini untuk sama-sama menyemarakkan semula industri pelancongan, seni, budaya dan warisan negara. Keunikan produk-produk pelancongan yang ada di negara kita adalah untuk kita kunjungi, terokai dan menikmatinya, seperti muzium, keindahan alam semulajadi dan hasil kraftangan.

Kepada penggiat industri pelancongan yang terdiri dari pelbagai segmen ekonomi dan masyarakat, teruskan usaha untuk menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif.

Namun, pada masa yang sama, kita perlu menjalankan aktiviti ini dengan penuh rasa tanggungjawab dengan mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kita masih lagi harus memastikan wabak Covid-19 kekal terkawal.

Sekali lagi, terima kasih YAB PM.

Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)