Pelarian Rohingya: Pendekatan Malaysia berasaskan kemanusiaan

Pelarian Rohingya: Pendekatan Malaysia berasaskan kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Isu membabitkan pelarian Rohingya boleh diselesaikan dengan syarat semua pihak terlibat mahu duduk berbincang dan mencari jalan terbaik.

Pengarah Pusat Pengajian Kerajaan, Undang undang dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Na’eim Ajis berkata, cadangan jangka pendek seperti membenarkan mereka bekerja secara sah di negara ini antara yang boleh dilaksanakan, namun memerlukan perbincangan terutama dalam aspek perundangan.

“Apabila bercakap tentang pelarian Rohingya, secara asasnya Malaysia tiada asas perundangan untuk mengatakan mereka pelarian, istilah pelarian tidak wujud secara teknikalnya di Malaysia.

“Sistem yang kita ada sekarang dinamik dan fleksibel, saya panggil sebagai sistem kemanusiaan. Baru- baru ini ada cadangan agar kita beri mereka pekerjaan dan legalise mereka dalam sektor tertentu.

“Secara peribadi saya bersetuju kita legalise mereka dalam aspek pekerjaan, bukan untuk selama-lamanya, hanya dalam sektor tertentu, dalam tempoh tertentu,” katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI bertajuk ‘Cari Penyelesaian Lindungi Migran’ yang bersiaran pada Jumaat.

Jelasnya, selepas satu tempoh tamat, pelarian terbabit boleh dihantar bekerja di negara-negara maju yang memerlukan tenaga mahir, seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Australia atau Kanada.

“Ini cara terbaik untuk melindungi mereka sebab apabila mereka tidak dibenarkan bekerja secara sah, banyak isu lain yang akan timbul. mereka akan jadi mangsa penipuan dan ada yang akan cuba ambil kesempatan.

“Jika dibenarkan bekerja secara sah, mereka akan ada pendapatan untuk biayai pendidikan anak-anak dan boleh bayar untuk perkhidmatan kesihatan sendiri.

“Habis sahaja tempoh, sebagai contoh, dua tahun, kita hantar mereka ke negara yang memerlukan tenaga kerja mahir,” ujarnya.

Namun langkah ini hanya boleh direalisasikan jika semua pihak, termasuk kerajaan dan NGO, duduk berbincang kerana ia membabitkan banyak pihak.

-Madiha Abdullah

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)