Pelbagai ekspo anjuran China suntik penggerak baharu pemulihan ekonomi dunia

Pelbagai ekspo anjuran China suntik penggerak baharu pemulihan ekonomi dunia

BEIJING, 8 Nov — Kebanyakan syarikat yang menyertai pelbagai ekspo di China menyifatkan ekspo yang diadakan, termasuk Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Ketiga sedang berlangsung di Shanghai, Ekspo Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) dan Canton Fair menjadi pencetus penggerak baharu bagi pemulihan ekonomi dunia.

Syarikat United Parcel Service (UPS) Amerika Syarikat (AS) yang menyertai CIIE selepas CIFTIS yang diadakan di Beijing pada September lalu menyifatkan CIIE satu plaform baik bagi menggalakkan globalisasi dan perdagangan bebas dunia.

Presiden UPS cawangan China, Michelle Ho berkata “UPS telah menyertai CIFTIS dan CIIE di China kerana kami mengutamakan pasaran China dan pelanggan di negara ini. Kami komited membantu pelanggan kami di negara ini terlibat dalam perdagangan global dengan lebih baik melalui jaringan logistik pintar UPS.”

Pengarah Urusan syarikat Vorwerk di Asia Pasifik, Fredrik memberitahu wartawan bahawa keluasan pameran syarikat itu dalam CIIE kali ini meningkat 40 peratus berbanding tahun lepas.

Selain itu, Vorwerk juga merancang untuk membina pusat aplikasi digital globalnya di China.

Katanya, sejak penyertaan syarikat itu dalam CIIE pertama pada 2018, jumlah carian terhadap produknya dalam talian meningkat tiga kali ganda, dan jumlah jualan meningkat 30 peratus.

Selepas menyertai CIIE kedua pada tahun lalu, jumlah jualan produk syarikat itu mencipta rekod pada suku keempat.

Menurut statistik Kementerian Perdagangan China, jumlah eksport negara ini pada suku ketiga meningkat 10.2 peratus berbanding tahun lepas, manakala jumlah import meningkat 4.3 peratus.

Menurut data diumumkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pula, jumlah import China pada separuh pertama tahun ini menduduki 11.3 peratus daripada jumlah keseluruhan dunia, sekaligus mencipta rekod tertinggi dalam sejarah.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)