Peluncur udara maut: Tapak sukan udara Kuala Kubu Bharu ditutup 3 minggu

Peluncur udara maut: Tapak sukan udara Kuala Kubu Bharu ditutup 3 minggu

KUALA LUMPUR: Tapak sukan udara Kuala Kubu Bharu ditutup selama tiga minggu bermula 25 April susulan kemalangan maut melibatkan seorang lelaki warga Pakistan ketika melakukan aktiviti luncur udara pada Sabtu.

Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa penutupan itu bagi memberi ruang kepada pemurnian semula prosedur operasi standard (SOP) supaya kejadian tersebut tidak berulang.

“Siasatan awal oleh pasukan siasatan khas MSAF mendapati ketika kejadian, cuaca berada dalam keadaan baik dan peralatan sukan luncur udara yang digunakan juga diselenggara serta berada dalam keadaan memuaskan.

“Bagaimanapun, pasukan siasatan khas MSAF mendapati terdapat ruang penambahbaikan terutamanya daripada sudut SOP di tapak sukan dan tindak cepat dalam usaha menyelamat pemain luncur udara,” kata Presiden MSAF Mohd Nurhaqimy Mohd Ismail.

Menurut MSAF, mangsa, Dr Muhammad Fahad Khalid, 44 tahun, merupakan pemegang lesen Juruterbang Lanjutan (PL2) berdaftar dan diperakui oleh MSAF serta mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 200 kali penerbangan sejak mula aktif pada tahun 2020.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah ditemukan tersangkut di pokok balak pada ketinggian 12 meter pada kira-kira jam 4.50 petang Sabtu di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa didapati patah kaki dan mengalami pendarahan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Menurut Ketua Polis Daerah Huru Selangor Supt Arsad Kamaruddin, payung terjun dikendalikannya hilang kawalan dan mangsa merempuh sebatang pokok dipercayai akibat masalah teknikal yang belum dikenal pasti, bukan akibat faktor cuaca dan angin.

-Astro Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )