Pemain B-18 sedia hadapi peringkat kejohanan lebih tinggi-Maloney
SEPANG,. Selepas membantu Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020, beberapa pemain kini bersedia untuk meningkatkan permainan mereka bagi menghadapi perlawanan pada peringkat yang lebih tinggi.
Ketua jurulatih sementara pasukan kebangsaan Bawah 18 (B-18) Brad Maloney percaya, pemainnya boleh memainkan peranan penting untuk pasukan kebangsaan Bawah 22 (B-22) di Sukan SEA, selepas bekerja keras sejak beberapa bulan lepas.
Walaupun pemain tersebut akan menghadapi saingan hebat daripada pemain-pemain lebih berpengalaman sebelum dapat disenaraikan dalam pasukan tersebut, Maloney berkata keinginan pemainnya itu akan dapat membantu mereka dalam proses pemilihan.
“Ia satu permintaan yang besar untuk seorang pemain berusia 17 tahun, menghadapi pemain-pemain berusia 22 tahun, namun mereka ini amat berbakat dan mereka mempunyai semangat yang kuat untuk melakukannya. Tentunya saya percaya mereka boleh bermain pada tahap itu.
“Tentunya mereka akan mempunyai peluang, melihat sama ada mereka boleh meningkat ke tahap itu dan berada dalam senarai akhir 20 pemain untuk Sukan SEA,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Malaysia layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 itu, selepas muncul juara Kumpulan G pada kelayakan di Kemboja.
Pasukan kebangsaan B-18 itu mengungguli takhta kumpulan itu dengan 12 mata, selepas mengekalkan rekod bersih tanpa kalah, dengan mengalahkan Thailand 1-0 di Stadium Olimpik Nasional di Phnom Penh, semalam.
“Para pemain telah berlatih tanpa mengenal lelah untuk beberapa bulan ini, terutamanya untuk lima ke enam minggu lepas. Mereka lakukan banyak pengorbanan, bekerja keras dan semalam adalah sesuatu yang mereka layak. Mereka benar-benar layak dapat keputusan itu dan layak ke pusingan akhir AFC,” tambah Maloney lagi.
Daripada 48 pasukan bertanding pada kelayakan ini, hanya 16 pasukan, termasuk pasukan tuan rumah dan 11 juara kumpulan dan empat pasukan di tempat kedua terbaik (lima jika Uzbekistan menjuarai Kumpulan F) akan layak ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun hadapan.
Untuk rekod, Malaysia layak 23 kali ke kejohanan (dulu dikenali sebagai Kejohanan Remaja AFC) sejak dimulakan pada 1959 dan pada edisi tahun lepas di Indonesia, Malaysia tewas para peringkat kumpulan.
— BERNAMA