Pemain Import Singapura Terbaik Di ASEAN – B. Satianathan

Pemain Import Singapura Terbaik Di ASEAN – B. Satianathan

KUALA LUMPUR,. Pemain import dari Singapura adalah paling berkualiti berbanding pemain dari negara ASEAN lain yang mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kenyataan ketua jurulatih Selangor, B. Satianathan itu disokong berdasarkan lima pemain import yang beraksi dalam Liga-M kini, adalah antara tonggak utama skuad kebangsaan Singapura.

“Kalau kita tengok kualiti ada pada pemain Singapura yang bermain di Liga Malaysia sekarang, saya boleh katakan mereka sentiasa konsisten dan menjadi tonggak utama pasukan kerana antara terbaik di negara mereka.

“Ia juga berbaloi untuk mendapatkan khidmat mereka kerana gaji yang ditawarkan berpatutan dan tidak terlalu tinggi seperti sesetengah pasukan lain,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Satianathan berkata pemain Singapura menjadi pilihan paling mudah berbanding mendapatkan pemain skuad kebangsaan dari negara lain seperti Vietnam,Thailand atau Myanmar.

“Kalau kita hendak harapkan pemain utama Vietnam atau Thailand datang ke sini mungkin sukar kerana gaji yang diminta agak tinggi dan pelbagai permintaan lain.

“Malah budaya serta bahasa mereka juga jauh berbeza dengan Malaysia, ditambah pula faktor kurang minat untuk mereka tidak datang ke sini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pemain Singapura menguasai carta import kuota ASEAN dengan lima pemain menjadi pilihan pasukan dalam saingan Liga Super.

Antara faktor yang menarik perhatian Satianathan mengenai pemain import Singapura ialah kebanyakan mereka mempunyai personaliti serta keterampilan cukup baik, di samping berdisiplin serta bijak dalam membina hubungan dengan peminat dan media.

Selangor pada musim ini turut menggunakan seorang pemain import Singapura, Safuwan Baharudin bagi mengisi kuota ASEAN.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)