Pemain Melaka United berada di prestasi terbaik – Zainal Abidin
MELAKA,. Selepas mencatat kemenangan dalam kesemua tiga aksi persahabatan menjelang Liga Malaysia (Liga-M) disambung semula akhir bulan ini, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan optimis anak buahnya mampu menghasilkan keputusan positif dalam baki aksi Liga Super musim ini.
Ketua Jurulatih Melaka United itu yakin barisan pemainnya berada dalam prestasi terbaik dan beliau sudah mempunyai bayangan pemain yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama apabila berdepan Perak dalam aksi Liga Super, 28 Ogos ini.
Malah, pengendali berusia 59 tahun itu berkata beliau kini bukan hanya memiliki pemain terbaik dalam kesebelasan utama, namun pemain simpanan juga berpotensi untuk diturunkan dalam barisan utama pasukan Sang Kancil pada perlawanan itu, nanti.
“Di sinilah kita lihat apa yang bagusnya ialah setiap pemain akan merebut tempat dan lebih ramai pemain yang akan bersaing untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Secara langsung pemain-pemain lain akan meningkatkan prestasi mereka untuk mengekalkan posisi masing-masing selain menunjukkan bersemangat untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) di sini, hari ini.
Pada tiga perlawanan persahabatan sebelum ini, Melaka United menewaskan PDRM FA 3-0, UiTM FC (1-0) dan Felda United FC (4-0).
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata dalam tiga aksi persahabatan itu, anak buahnya mempamerkan keserasian sebagai sebuah pasukan dan menampilkan kombinasi permainan yang baik.
“Namun, masih ada sedikit sebanyak kesilapan perlu diperbaiki. Kita perlu bersedia berdepan Perak, dalam tempoh seminggu ini dan perlu perbaiki kelemahan yang ada,” katanya.
Saingan Liga Super dan Liga Premier yang bersambung pada 28 Ogos ini, berlangsung tanpa penonton bagi mematuhi SOP Pengelolaan Perlawanan Liga Malaysia Tanpa Penonton (Pencegahan COVID-19) yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Melaka United kini menghuni tangga ke-11 liga daripada 12 pasukan, dengan mengutip tiga mata selepas dikenakan hukuman pemotongan tiga mata apabila gagal membayar baki tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.
— BERNAMA