Pemain naturalisasi yang kurang menyerlah tidak membantu – M. Karathu

Pemain naturalisasi yang kurang menyerlah tidak membantu – M. Karathu

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa memberi fokus kepada pembangunan pemain di peringkat akar umbi, dan bukannya mengambil jalan singkat dengan mencuba nasib menurunkan pemain naturalisasi.

Bekas pemain kebangsaan Datuk M. Karathu berkata tindakan memberi taraf kerakyatan kepada pemain kurang menyerlah dalam Liga Malaysia (Liga-M) tidak banyak membantu dalam pembangunan Harimau Malaya (pasukan kebangsaan).

Karathu, yang bermain untuk pasukan kebangsaan sekitar tahun 1960an sehingga 1070an, turut mempersoalkan berapa ramai sebenarnya pemain import dari luar negara dalam liga tempatan kini, yang benar-benar layak untuk bertanding di peringkat tertinggi di Asia.

“Kebanyakan pemain import luar negara dalam Liga-M adalah dalam kalangan mereka yang tidak dapat bermain dalam liga tertinggi di Amerika Selatan dan negara-negara Eropah. Daripada beli pemain asing ini, lebih baik beli pemain dari Vietnam.

“Lihat sahaja kepada karekter dan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain Vietnam pada pertandingan kelayakan (Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023), jika dibandingkan dengan pemain kita yang kebanyakan hanya ‘berjalan’ semasa perlawanan, dan mendapat kad kuning dengan tidak semena-mena. Sesiapa yang diberi peluang untuk mewakili negara, mereka seharusnya perlu komited terhadap keseluruhan 90 minit tempoh perlawanan,” katanya kepada Bernama.

Veteran berumur 77 tahun yang mempunyai pengalaman luas dalam melatih pasukan seperti skuad bawah 21 tahun kebangsaan, pasukan Perak, Kelantan, Woodlands Wellington FC (di Singapore) dan pasukan kebangsaan Sri Lanka itu berkata mengambil pemain naturalisasi yang sudah agak berusia bukanlah satu idea yang baik.

Beliau berkata FAM seharusnya menganalisis statistik dan prestasi, serta sikap dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain dalam pasukan negara.

Pasukan Harimau Malaya menyambung perlawanan mereka dalam saingan Kumpulan G kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sebelum ini terhenti selama kira-kira 18 bulan akibat penularan pandemik COVID-19 sejak dua minggu lepas, dengan rekod yang tidak boleh dibanggakan, apabila kalah 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 2-1 kepada Vietnam, sebelum dapat menewaskan Thailand, 1-0 untuk menduduki tempat ketiga dengan 12 mata.

Walaupun Malaysia berjaya melayakkan diri ke peringkat pusingan ketiga kelayakan Piala Asia, para peminat mengecam penampilan hambar pasukan semasa menentang UAE dan Vietnam, terutama prestasi yang ditunjukkan oleh pemain kelahiran Brazil Guilherme de Paula, 34, Liridon Krasniqi, 29, (Kosovo) dan Mohamadou Sumareh, 26, (Gambia).

Karathu berkata FAM dan persatuan bola sepak negeri perlu serius dalam pembangunan pemain peringkat akar umbi, selepas kelab-kelab amatur, yang satu ketika dianggap sebagai kilang yang mengeluarkan pemain dari pelbagai latar belakang, kini banyak yang ditutup.

“Proses pembangunan dalam negara perlu dirombak, FAM perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk pembangunan ini, begitu juga dengan persatuan bola sepak negeri, mereka perlu fokus kepada pembangunan pemain di peringkat akar umbi. Sekadar satu atau dua akademi tidak mencukupi untuk meningkatkan kualiti pasukan negara.

“Sementara itu para pemain tidak seharusnya berpuas hati dengan pendapatan tinggi yang ditawarkan Liga-M. Mereka perlu berebut untuk mendapat peluang bermain di Jepun, Koraa Selatan dan negara-negara Arab, yang tahap permainan bola sepak mereka dianggap sangat tinggi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)