Pemaju hartanah sudah bersedia hadapi COVID-19
KUALA LUMPUR,. Pemaju hartatanah telah melakukan persediaan untuk menghadapi kesan ekonomi akibat COVID-19 berbanding dengan krisis kewangan 2008.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Hartamas Real Estate Group, Eric Lim berkata banyak projek pembangunan yang dilakukan telah dibiayai melalui pembiayaan ekuiti dan bukannya pinjaman bank dan beberapa pemaju membentuk usaha sama dengan pemilik tanah untuk melaksanakan projek.
“Oleh itu, tahap kadar hutang lebih terkawal. Saya berpendapat buat masa ini, kami akan lebih bersedia,” katanya mengenai kemungkinan wabak tersebut boleh mencetuskan krisis hutang korporat dalam persekitaran kejatuhan harga hartanah pada tempoh yang lama.
Lim berkata sektor hartanah akan pulih pada suku keempat tahun ini dan akan stabil pada awal tahun depan.
“Ada yang mengharapkan sektor hartanah melonjak pada tahun 2021, kenaikan berbanding sekarang. Oleh itu, moratorium enam bulan diberi oleh bank adalah sesuatu yang melegakan bagi individu dan syarikat.
“Ini akan mengurangkan kesan (COVID-19) sekurang-kurangnya selama enam hingga sembilan bulan akan datang dan mungkin hingga akhir tahun ini.
“Jadi, saya berpendapat pakej rangsangan ekonomi juga akan membantu terutama bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya semasa sesi webinar yang dianjurkan oleh Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) mengenai tinjauan pasaran pelbagai sektor.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Impetus Alliance, Datuk Seri Michael Yam berkata Malaysia telah menghadapi banyak krisis sebelum ini dengan pasaran hartatanah berjaya bangkit kembali ke tahap yang lebih tinggi.
Yam berkata negara ini memiliki asas yang kukuh untuk pemulihan kerana sektor kerajaan, swasta dan korporat, serta rakyat mempunyai daya tahan.
Sementara itu, Pengarah bukan Eksekutif Axis REIT Managers Bhd Stephan Tew berkata, kerajaan diminta menurunkan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) untuk mendorong orang membeli atau menjual hartatanah.
Di bawah Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan RPGT 5.0 peratus untuk rakyat Malaysia sekiranya hartatanah itu dijual selepas tahun kelima. Cukai sehingga 30 peratus akan dikenakan sekiranya hartatanah dijual dalam tempoh tiga tahun atau kurang.
Bagi Belanjawan 2020 pula, kerajaan menyemak semula RPGT yang dikenakan terhadap penjualan hartatanah selepas lima tahun dengan menetapkan nilai pasaran pada 1 Jan 2013, harga perolehan hartanah untuk hartanah yang diperoleh sebelum tarikh tersebut, berbanding tahun asas semasa pada Januari 1, 2000.
— BERNAMA