
Pemaju terbaik Malaysia diiktiraf melalui penganugerah maya pertama
KUALA LUMPUR,. Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Soam Heng Choon telah dinamakan sebagai Pemimpin Contoh Pembangunan Mampan 2020 Malaysia.
Ketua Pengarang dan Pengarah Urusan EgdeProp Malaysia, Au Foong Yee berkata Soam telah menerima anugerah tersebut daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dalam satu majlis maya secara langsung melalui Facebook pada malam ini.
“Pengiktirafan itu, yang merupakan kemuncak kepada Anugerah Kemampanan dan Pengurusan Hartanah Terbaik EdgeProp Malaysia. Sumbangan Datuk Soam, adalah amat penting ketika industri sedang bertarung dengan kegawatan ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan majlis penganugerah tersebut.
Gamuda Land dan Tanah Sutera Development Sdn Bhd pula menerima pengiktirafan Pemaju Bertanggungjawab EdgeProp Malaysia : Anugerah Pembangunan Mampan 2020. Pemilihan ini dibuat oleh para editor EdgeProp Malaysia. Mereka diiktiraf selepas menunjukkan komitmen untuk membina pembangunan yang direka dan dibina menjadi pengurusan hartanah bertaraf dunia.
Katanya, Karisma Apartment oleh Eco Majestic Development Sdn Bhd daripada Eco World Development Group Bhd telah dinamakan sebagai Projek Perumahan Mampu Milik Cemerlang Malaysia 2020. Pangsapuri Karisma turut menjadi pemenang dalam Kategori Perumahan Mampu Milik Mampan.
Sebagai tambahan, Banjaran Hotsprings Retreat oleh Sunway Group telah diiktiraf sebagai Resort Mampan yang Cemerlang 2020 Malaysia. Resort tersebut merupakan percutian spa bertaraf dunia yang lestari dan dibangunkan berdasarkan kepada prinsip pemeliharaan hutan hujan kuno, bukit batu kapur, air terjun yang melata dan sistem gua yang wujud di tengah-tengah ekosistemnya.
Sementara itu, PJ Trade Centre yang dimajukan oleh Tujuan Gemilang, menggondol Anugerah Dibina untuk Kelestarian 2020. Ia diiktiraf sebagai satu mercu tanda Malaysia yang sudah berusia tetapi reka bentuknya masih dikagumi dan tidak lapuk dengan zaman.
Pemenang lain yang diraikan di majlis anugerah berkenaan termasuk SCM Property Services Sdn Bhd daripada UEM Sunrise, ParkCity Holdings, Setia Ecohill Sdn Bhd daripada S P setia, SkyWorld Property Management Sdn Bhd daripada SkyWorld Development Sdn Bhd, SDB Property Management Sdn Bhd, daripada Selangor Dredging Bhd, Ken Holdings Bhd, Bandar Rimbayu Sdn Bhd daripada IJM Land, Henry Butcher (Mont Kiara) Sdn Bhd , Kumpulan AirAsia, Quill Group of Companies Sdn Bhd, Praxcis Design Sdn Bhd, Izrin & Tan Properties Sdn Bhd termasuk Eco Summer Sdn Bhd daripada Eco World Development Group Bhd.
— BERNAMA