Pemantapan Sosio Ekonomi Oku Melalui Gerakan Koperasi

Pemantapan Sosio Ekonomi Oku Melalui Gerakan Koperasi

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr. Azzanawawy Samat

Menyedari hakikat kurangnya kesediaan sesetengah majikan untuk memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk mengisi kekosongan jawatan dalam organisasi, sewajarnya diambil perhatian. Khasnya dalam memperbetulkan persepsi majikan terhadap golongan tersebut. Malah terdapat juga majikan yang berasa keberatan untuk memberikan peluang kepada golongan OKU menerajui atau mengetuai sesuatu pasukan atau organisasi. Walaupun terdapat situasi sebenar yang telah membuktikan keupayaan OKU dalam kepimpinan, tetapi kepercayaan kepada golongan tersebut sukar diperolehi.

Golongan OKU juga seharusnya tidak mudah mengalah dan berputus asa, sebaliknya terus berusaha untuk membuktikan keupayaan mereka. Golongan tersebut tidak semestinya bergantung kepada pasaran kerja semata-mata memandangkan terdapat banyak lagi ruang dan peluang dalam meningkatkan status sosio-ekonomi mereka. Antaranya dengan menceburi bidang keusahawanan, sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.

OKU dan Koperasi

Bidang keusahawanan bukanlah suatu bidang yang mudah diceburi apatah lagi bagi golongan OKU berikutan keperluan kemahiran dan juga modal di samping sesetengah perkara melibatkan pergerakkan dan keupayaan fizikal serta kekuatan mental. Namun begitu, cabaran ini dapat dihadapi apabila dikongsikan secara bersama-sama di dalam suatu kumpulan yang mempunyai matlamat yang sama melalui gerakan koperasi.

Perkataan koperasi itu sendiri diambil dari perkataan co-operation yang mana co bererti bersama manakala operation bererti usaha kepada pengendalian atau pengoperasian. Maka perkataan koperasi itu boleh memberikan maksud usaha bersama.

Ini merujuk kepada dua atau lebih pihak yang berusaha secara bersama bagi mencapai sesuatu yang diinginkan. Apabila menyentuh berkenaan usaha bersama, dapat dijelaskan bahawa usaha yang dibuat adalah secara sukarela dan bukannya paksaan.

Walaupun secara individunya golongan OKU memiliki ketidakupayaan yang tersendiri, namun ketidakupayaan tersebut dapat ditampung dengan keupayaan anggota yang lain dalam kumpulan tersebut. Di sini jelas sekali menuntut semangat kerjasama yang diperlukan dalam memastikan pencapaian matlamat bersama dapat dicapai.

Apabila dilihat dari sudut organisasi, koperasi merupakan organisasi yang ditubuhkan bagi mencapai tujuan yang sama oleh anggota-anggotanya. Para anggota mempunyai hak yang sama dan boleh menyuarakan pandangan dan pendapat mereka, khasnya berkaitan kebajikan dan pembangunan sosio-ekonomi mereka. Ini bermakna, dengan penglibatan golongan OKU dalam koperasi secara tidak langsung akan dapat memanfaatkan golong tersebut secara berkumpulan. Ini seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan diri, ekonomi dan hubungan sosial dalam kalangan anggota koperasi berkenaan.

Melalui koperasi, golongan OKU dapat membincangkan apa yang mereka perlukan dan cara untuk mendapatkannya, dengan mengambil kira aspek kebajikan semua anggota. Malah golongan tersebut secara bersama-sama dapat menjalankan aktiviti yang akan memberi pulangan kepada mereka. Selain dapat menjana pendapatan dan memenuhi kehendak bersama, koperasi juga boleh mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu melalui aktiviti yang dijalankan. Mewujudkan peluang pekerjaan kepada anggota atau OKU lain merupakan satu langkah bijak berbanding mengharapkan peluang pekerjaan sedia ada dalam pasaran pekerjaan.

Ini kerana bukan semua majikan yang memahami dan bersedia untuk menggajikan pekerja OKU. Oleh itu, penubuhan koperasi oleh golongan OKU dilihat sebagai salah satu jalan bagi meningkatkan sosio-ekonomi golongan tersebut.

Sebagai sebuah organisasi yang berautonomi, koperasi bebas menjalankan aktiviti dan tidak terikat dengan mana-mana pihak. Oleh itu, golongan OKU boleh menjalankan apa sahaja aktiviti perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan dan dapat memenuhi keperluan anggota-anggotanya. Walaupun koperasi berstatus autonomi, namun perjalanan sesebuah koperasi masih tertakluk di bawah Akta Koperasi 1993 dan perlu mematuhi perundangan dan peraturan lain yang telah ditetapkan.

Aktiviti Koperasi dan Kepentingan OKU

Banyak aktiviti koperasi yang boleh dijalankan dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan para anggota. Antaranya, kumpulan OKU yang menubuhkan koperasi boleh menyediakan perkhidmatan membekalkan peralatan sokongan seperti tongkat dan kerusi roda kepada anggota. Selain itu, koperasi juga boleh membekalkan perisian komputer yang mesra OKU bagi memudahkan urusan kerja kakitangan OKU penglihatan.

Jualan peralatan sokongan ini boleh ditawarkan dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran, manakala keuntungan yang diperolehi daripada jualan pula dapat diagihkan semula dalam bentuk dividen kepada para anggota kelak.

Semua orang impikan memiliki rumah sendiri, begitu juga dengan OKU. Namun harga rumah yang melambung tinggi akibat kenaikan harga bahan binaan menyebabkan ramai orang hanya mampu menyewa sahaja. Ini lebih memeritkan apabila pembinaan rumah mesra OKU turut melibatkan pertambahan kos.

Berdasarkan situasi tersebut, koperasi yang ditubuhkan oleh golongan OKU boleh memohon tanah bersesuaian dan membina kawasan perumahan yang berkonsepkan mesra OKU. Setiap binaan bangunan merujuk kepada garis panduan perancangan reka bentuk sejagat yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Aktiviti yang dijalankan ini bukan sahaja dapat membantu OKU untuk memiliki rumah, malah dapat menyediakan rekabentuk rumah yang lebih mesra dan bersesuaian dengan keadaan mereka. Di samping itu, koperasi turut dapat menawarkan harga rumah yang lebih rendah dan mempunyai nilai tambah kepada anggota-anggotanya. Keuntungan yang diperolehi pula akan dimanfaatkan semula bagi tujuan lain seperti penyelenggaraan dan diagihkan dalam bentuk dividen. Justeru, penubuhan koperasi dilihat dapat memberikan kesan positif kepada pembangunan sosio-ekonomi golongan tersebut.

Prinsip Dalam Berkoperasi

Namun begitu, terpulanglah kepada golongan OKU untuk menubuhkan atau menganggotai mana-mana koperasi kerana tiada paksaan kepada mana-mana orang dalam menyertai koperasi. OKU yang memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan peraturan atau perundangan boleh menyertai koperasi secara sukarela. Apabila koperasi ditubuhkan, koperasi dikawal secara demokratik oleh anggota. Tiada seorang pun yang berkuasa secara mutlak dalam koperasi. Ini kerana kuasa tertinggi dalam koperasi adalah terletak dalam Mesyuarat Agung Tahunan, yang mana keputusan-keputusan penting perlulah dibentangkan dan mendapat kelulusan. Koperasi yang ditubuhkan bukan sahaja bertujuan menjaga kebajikan anggota, tetapi turut serta dalam penglibatan ekonomi. Ini jelas menunjukkan koperasi yang ditubuhkan oleh kumpulan OKU akan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi mereka.

Koperasi juga merupakan sebuah organisasi berautonomi. Koperasi yang ditubuhkan bebas menjalankan aktiviti demi mencapai matlamat bersama dan perlulah berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa. Selain itu juga, pendidikan dan latihan juga turut dapat diberikan kepada OKU melalui koperasi yang ditubuhkan. Banyak peluang yang disediakan bagi membolehkan setiap anggota koperasi melibatkan diri dalam kursus dan latihan yang disediakan.

Ini termasuklah kursus kemahiran bagi memantapkan diri seseorang anggota dan juga tadbir urus sesebuah koperasi. Kerajaan juga turut memberikan subsidi yuran ke atas sesetengah kursus yang dianjurkan oleh koperasi demi kemajuan diri anggota dan koperasi tersebut.

Jalinan kerjasama antara koperasi dapat memudahkan koperasi yang ditubuhkan oleh golongan OKU bekerjasama dengan koperasi yang lain dan membentuk rantaian perniagaan yang dapat menyokong antara satu sama lain atau menjadi pelengkap kepada aktiviti koperasi lain.

Selain memberi manfaat kepada ahli, aktiviti koperasi juga dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat melalui perkhidmatan dan berjual beli di kedai koperasi.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, banyak manfaat yang dapat diperolehi sekiranya golongan OKU bersama-sama menubuhkan koperasi. Aktiviti yang djalankan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara anggota tetapi turut dapat membangunkan sosio-ekonomi golongan tersebut.

Suara memperjuangkan hak kehidupan OKU dalam masyarakat akan lebih didengari sekiranya golongan OKU bersatu dalam memperjuangkan perkara tersebut. Tindakan ini lebih jelas sekiranya OKU itu sendiri turut sama dalam menyediakan keperluan tersebut melalui koperasi yang ditubuhkan. Inilah pentingnya hidup seperti segenggam lidi, bersatu padu dalam merencanakan sesuatu.

Bagi tujuan tersebut, sokongan oleh pelbagai pihak amatlah diperlukan bagi memastikan usaha ini berjaya dan mencapai matlamatnya. Antaranya, mengurangkan halangan-halangan yang mungkin akan menyekat perjalanan koperasi itu sendiri seperti memperhalusi peraturan-peraturan berkaitan agar bersesuaian dengan kondisi golongan tersebut.

Sebagai contoh, memberi fleksibiiti kepada koperasi dalam menjalankan Mesyuarat Agung memandangkan keanggotaannya terdiri daripada OKU. Selain itu, sokongan turut diperlukan sebagai galakan kepada golongan tersebut dalam menjalankan aktiviti koperasi.

Golongan OKU bukanlah satu kumpulan dominan dalam masyarakat, tetapi sekiranya diamati, golongan ini mampu memberikan impak kepada negara. Golongan tersebut wajar dibangunkan agar mereka turut dapat menyumbang kepada negara. Ini kerana golongan ini juga sebahagian daripada masyarakat Malaysia. Bersama-samalah kita membangunkan negara yang kita cintai.

— BERNAMA

Dr. Azzanawawy bin Samat merupakan Penolong Pengarah Kanan, Biro Pengaduan Awam. Semua yang dinyatakan merupakan pandangan penulis secara peribadi dan tidak mewakili mana-mana badan dan organisasi.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)