Pematuhan SOP penting agar sektor sukan dibuka secara fasa – Reezal Merican

Pematuhan SOP penting agar sektor sukan dibuka secara fasa – Reezal Merican

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta penggiat sektor sukan dan rekreasi supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar lebih banyak kelonggaran dapat diperoleh untuk sektor berkenaan selepas ini.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kepatuhan kepada SOP sangat penting untuk meyakinkan kerajaan terutamanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kebenaran bagi membuka sektor sukan secara berfasa.

Beliau turut menegaskan bahawa situasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan tahun lepas dan PKP 2.0 sekarang, tidak sama apabila kes harian COVID-19 meningkat daripada angka ratusan ke ribuan, dan telah menular ke dalam komuniti.

“Saya meminta penggiat sukan agar kita mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan bahawa komuniti sukan adalah komuniti yang ada pematuhan tinggi, yang dapat menjadi contoh kepada amalan yang kita sering tekankan iaitu ‘kita jaga kita’.

“Memang ia merupakan satu proses yang renyah, tapi dalam suasana kita mahu membina keseimbangan antara meneruskan kehidupan dan kekang penularan wabak ini, kita kena lakukan perkara-perkara ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, hari ini.

Selasa lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan memberi kebenaran kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) untuk memulakan latihan menerusi konsep gelembung sukan bermula Isnin ini.

Dua hari kemudian, beliau berkata kebenaran juga diberi kepada aktiviti jogging, ‘brisk walking’, berbasikal dan senaman terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja manakala tenis, badminton dan ping pong melibatkan acara perseorangan sahaja serta permotoran (dua roda dan empat roda).

Aktiviti lain dibenarkan ialah aktiviti kemahiran kendiri sukan berpasukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw tanpa melibatkan sentuhan fizikal.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata pihaknya terpaksa mengambil jalan tengah untuk memberikan kebenaran kepada fasiliti sukan seperti padang bola, gelanggang futsal dan badminton beroperasi dengan SOP yang ketat demi kelangsungan hidup pihak yang terlibat dalam industri itu.

“Aktiviti dibenarkan dalam bentuk latihan kemahiran kendiri bermaksud tiada aktiviti bersentuhan. Contohnya kita dah tentukan tidak melebihi 30 peratus kapisiti asal, maka boleh buat self training dari segi skil, tapi tidak boleh menyebabkan berlakunya sentuhan kerana sentuhan salah satu daripada pelanggaran kepada SOP.

“Kita bersimpati pada operator fasiliti sukan kerana jika padang-padang ditutup, langsung tiada sesiapa yang nak pergi main, sekali gus menjejaskan pendapatan operator, pekerja dan ada kesan limpahan yang lain. Jadi ambil jalan tengah dahulu, sementara kita dapat vaksin dan boleh kembali kepada keadaan biasa, mari kita patuh kepada SOP,” katanya.

Reezal Merican turut menegaskan beliau sendiri akan turun padang untuk memantau pematuhan kepada SOP tersebut dilaksanakan, selain pewujudan Rakan Muda – Sports Bubble Volunteers (SBV) turut diyakini dapat membantu pelaksanaan SOP tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)