Pembangkang perlu berani tukar kepimpinan – Presiden Warisan

KOTA KINABALU,. Pembangkang di negara ini perlu berani menukar barisan kepimpinannya untuk terus maju terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata melalui pimpinan baharu, pembangkang diberi suntikan daripada segi hala tuju dengan corak yang berbeza untuk ditawarkan kepada rakyat dan beliau percaya pembangkang mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh diketengahkan bagi mencapai hasrat itu.

“Mereka perlu berani buat perubahan, bukan kata (pemimpin lama) itu tidak layak tetapi ramai dalam kalangan anak muda berkebolehan yang menawarkan diri menjadi pimpinan barisan pembangkang.

“Bukan saya katakan individu tertentu perlu ditukar tetapi kita perlu bersedia bagi pilihan raya akan datang…rakyat sedang berdepan dengan banyak masalah pekerjaan, COVID-19, ekonomi…apa yang boleh kita tawarkan pada pilihan raya akan datang jika modus operandi sama sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2019 di Likas di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking.

Mohd Shafie berkata dalam melihat keperluan perubahan barisan kepimpinan itu, situasi yang terjadi selepas PRU14 perlu diteliti apabila pembangkang ketika itu memenangi PRU tetapi akhirnya kehilangan kuasa akibat pergolakan dalaman terutama dalam kalangan pemimpin parti.

“Kita cuba menyatukan rakyat dan kepemimpinan tetapi ia tidak berlaku kerana tiada hala tuju yang jelas dengan kepimpinan yang ada. Bukan sahaja menyatukan kepimpinan yang kita ada tetapi menyatukan seluruh rakyat Malaysia, perpaduan amat penting bagi kita,” katanya.

Sementara itu beliau berkata perhimpunan itu sebulat suara meluluskan usul untuk Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung.

“Kalau UMNO boleh bertapak (di Sabah) DAP, PKR dan Amanah juga boleh, tak kan Warisan tidak boleh bertapak di Semenanjung. Bukan mudah tetapi kita mesti ada hala tuju,” katanya.

Mohd Shafie berkata langkah itu tidak bertentangan dengan perlembagaan parti itu dan Warisan tidak memerlukan pertukaran daripada segi nama untuk bertapak di Semenanjung.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )