Pembangkang, Sila Henti Hasut Rakyat Keluarkan KWSP

Pembangkang, Sila Henti Hasut Rakyat Keluarkan KWSP

KUALA LUMPUR – Pembangkang digesa berhenti menghasut rakyat mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bagi memastikan simpanan pencarum tidak terjejas selepas bersara.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, adalah tidak bertanggungjawab apabila isu tersebut dijadikan senjata dan permainan politik Perikatan Nasional (PN).

“Pada 9 Mac 2023, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan membenarkan mereka yang terdesak dan mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP mencagarkan caruman mereka di bank.

“(Bagaimanapun), cadangan itu dibantah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak membantu pencarum terhimpit dengan keadaan ekonomi,” katanya hari ini.

Mohammad Agus berkata, KWSP adalah simpanan hari tua yang sebenarnya tidak boleh dikeluarkan sehingga pencarumnya mencecah 55 tahun.

Namun, katanya, kerajaan membenarkan simpanan itu dikeluarkan ketika pandemik COVID-19 bagi meringankan beban rakyat yang terkesan.

“Memikirkan masa depan rakyat di hari tualah, Perdana Menteri mencadangkan idea untuk cagarkan KWSP. Beliau sediakan jala untuk rakyat mencari ikan, bukannya memberi rakyat makan ikan.

“Cadangan itu baik dan praktikal. Duit KWSP yang jadi cagaran itu masih dalam simpanan. Tiap-tiap tahun dividen bertambah. Kalau tidak bayar, barulah bank mengambil cagaran itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Agus berkata, sekurang-kurangnya inisiatif yang dibawa oleh Presiden PKR itu dengan membenarkan simpanan KWSP sebagai cagaran dan dipersetujui bank adalah antara solusi kepada rakyat.

“Modal KWSP tidak hilang. Dividen tabung itu yang bayarkan pinjaman bank. Kalau keluarkan simpanan KWSP bukan sahaja duit tidak ada, dividen pun tidak dapat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pembangkang seharusnya berperanan dalam mendesak kerajaan untuk membawa kebaikan kepada rakyat, seperti menghapuskan rasuah, menggesa peluang pekerjaan dan mengawal harga barang.

“Nasihat saya kepada yang menentang cadangan Perdana Menteri ini, hentilah apikan rakyat, sebaliknya berilah cadangan yang lebih bernas. Didik rakyat bijak berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak.

“Memahami Anwar, beliau adalah terbaik dalam mengajar rakyat berhemah, mengajar rakyat mengurus kewangan keluarga, mengajar rakyatnya berdikari. Pembangkang, hentilah hasut rakyat dan bimbinglah mereka supaya berjimat,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memperkenal kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank, bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Beliau berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pembiayaan kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Bagaimanapun, timbul dakwaan mengatakan tindakan membenarkan caruman KWSP dijadikan sebagai cagaran sebagai melanggar undang-undang mengikut Akta KWSP 1991 berikutan simpanan itu hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan tertentu sahaja.

– Getaran, 15 Mac 2023.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )