Pembangunan Kampung Baru: Identiti orang Melayu dipertahankan – Annuar

Pembangunan Kampung Baru: Identiti orang Melayu dipertahankan – Annuar

KUALA LUMPUR,. Identiti orang Melayu di Kampung Baru akan dikekal dan dipertahankan walaupun kawasan itu dibangunkan sebagai sebuah pusat komersil moden, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Perbincangan dengan penduduk serta semua pihak yang terlibat dalam projek pembangunan itu akan diadakan secara berperingkat agar satu pelan tindakan yang komprehensif dapat direncanakan bagi melindungi hak keistimewaan orang Melayu di kawasan itu.

“Kementerian akan lihat kepada pilihan-pilihan lain yang lebih baik dan menepati kehendak penduduk Kampung Baru serta akan mengkaji model yang lebih sesuai bagi tujuan pembangunan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Annuar berkata pembangunan dengan konsep yang berbeza diperlukan bagi mengekalkan keunikan identiti asal Kampung Baru sebagai satu-satunya kelompok tanah terakhir milik orang Melayu di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Kalaupun penduduk Kampung Baru tidak memiliki bangunan pencakar langit, beliau berkata sekurang-kurangnya mereka akan menikmati pembangunan yang boleh menjana pendapatan dengan baik.

Annuar berkata kerajaan sedia bertindak mempercepatkan pembangunan Kampung Baru dan pada masa sama akan memastikan kawasan itu terhindar daripada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan seperti bersandar kepada kuasa pasaran dalam pelaksanaan projek itu.

“Pembangunan secara ‘market forces’ dan ‘capitalism economy’ tidak boleh menyelamatkan Kampung Baru,” ujarnya.

Mengulas nasib golongan gelandangan sekitar Kuala Lumpur dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras wabak COVID-19, beliau berkata kementeriannya akan menambah tiga lagi tempat perlindungan sementara dalam masa terdekat ini, yang boleh menampung 600 penghuni.

Rumah gelandangan (Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur) dan Anjung Singgah sudah penuh, katanya.

Memandangkan tiada data mengenai golongan gelandangan pada masa ini, pihak berkuasa, katanya akan menjalankan proses saringan profil mereka agar bantuan sewajarnya dapat diberikan dan hanya mereka yang benar-benar memerlukan akan ditempatkan di pusat-pusat sementara itu.

“Sebagai contoh, jika ada dalam kalangan mereka penagih dadah, mereka akan dihantar ke pusat pemulihan dadah manakala pendatang asing tanpa izin pula akan dserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)