Pembayaran GKP 3.0 untuk PKS mikro yang lulus akan dibuat mulai Jun

Pembayaran GKP 3.0 untuk PKS mikro yang lulus akan dibuat mulai Jun

KUALA LUMPUR : Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 bagi pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang telah diluluskan akan dibayar mulai Jun 2021, setelah pangkalan data GKP dikemas kini.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pembayaran itu akan melibatkan peruntukan tambahan bernilai RM1.2 bilion. “Setiap PKS mikro yang layak akan menerima bantuan one-off GKP 3.0 sebanyak RM1,000.

“Penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 akan menerima bayaran tambahan RM1,000 tanpa perlu membuat permohonan semula. “Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, permohonan GKP 3.0 akan dibuka secara dalam talian melalui Portal GKP dari 1 hingga 15 April 2021,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Sementara itu, Jelas Tengku Zafrul, bagi permohonan PKS mikro yang tidak diluluskan dan yang belum pernah menerima bantuan GKP sebelum ini, mereka masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk semakan semula.

Ujarnya, permohonan yang telah diluluskan dibawah GKP 3.0 adalah permohonan yang menepati kriteria dan telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) setakat 28 Februari 2021.

Beliau menambah, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan terus komited untuk menyokong sektor perniagaan khususnya golongan PKS untuk meringkankan beban kewangan yang dihadapi oleh mereka dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Untuk makluman, secara keseluruhan GKP 1.0, 2.0 dan 3.0 melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM4.78 bilion dengan memanfaatkan lebih kurang 1.2 juta PKS mikro.

-Awani /Nickyson Nyambar

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)