Pembayaran STR Fasa 1 bermula Isnin ini, manfaat 8.2 juta penerima – MoF
KUALA LUMPUR,. Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima akan bermula Isnin ini (29 Jan).
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran itu akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Menurut MOF, kerajaan telah menaikkan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah, berbanding bayaran maksimum RM300 pada tahun lepas, bagi membantu sebilangan besar rakyat menangani kesan peningkatan kos sara hidup.
Kementerian itu memberitahu penerima daripada kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500 melalui pembayaran STR Fasa 1, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300.
Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama berkata setiap kali beliau bertemu rakyat, perihal utama diutarakan ialah beban kos sara hidup yang kian meningkat lebih deras daripada pendapatan.
“Saya akur akan keperitan ini, justeru kerajaan giat berusaha untuk memastikan bantuan kerajaan dapat dipertingkat dengan lebih ketara agar masalah asas ini dapat dileraikan dan tiada rakyat di belakang, di bawah pentadbiran kerajaan Madani.
“Selaras dengan pendekatan Ekonomi Madani untuk ‘meninggikan lantai’ dari segi kualiti hidup rakyat, kerajaan akan mengutamakan dan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata kerajaan Madani sentiasa peka kepada keluhan rakyat dan akan terus menambah baik STR dalam usaha membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
Dalam pada itu, MoF memaklumkan setakat ini, sejumlah 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024, namun angka itu dijangka meningkat kepada hampir sembilan juta memandangkan proses permohonan baharu dan kemas kini dibuka sepanjang tahun, berbanding setahun sekali seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
MOF menasihati orang ramai untuk menyemak status kelayakan STR dan mendapatkan jawapan bagi soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi STR melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my atau manfaat.mof.gov.my.
Kementerian itu turut menyeru mereka yang tidak tersenarai dalam pangkalan data STR untuk membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan dimuktamadkan.
“Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program STR,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA