Pemberian bantuan RM600, penerima manfaat ingin tahu prosedur
GEORGE TOWN,. Pengumuman pemberian bantuan RM600 secara ‘one-off’ atau sekali bayar kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran, pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada golongan itu yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Meskipun pengumuman itu satu berita yang menggembirakan namun mereka tertanya-tanya cara untuk mendapatkan bantuan tersebut.
Pemandu bas persiaran, Vincent Wong, 43, berkata bantuan seumpama itu sememangnya satu berita yang baik kerana kebelakangan ini, aktiviti membawa pelancong sekitar negeri itu disifatkannya sebagai semakin suram.
Wong, yang juga seorang pemandu pelancong, berkata beliau ingin mengetahui prosedur yang diperlukan untuk mendapatkan bantuan itu bagi menampung pendapatan bulanannya.
“Kita juga hendak tahu apakah syarat yang diperlukan untuk kita dapat (bayaran) one-off ini, sebab kita hanya dengar melalui pengumuman sahaja. Sekarang memang susah nak cari makan malah pendapatan yang diperoleh dalam sehari menjunam sehingga 70 peratus. Bas yang saya bawa untuk syarikat yang saya kerja ini sudah tiga bulan tak jalan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Wong berkata sebelum COVID-19 merebak, beliau membawa bas pelancong sehingga ke Singapura.
“Sekarang Singapura dah kena kuarantin, jadi berapa lama lagi kita nak tahan… kalau dalam negeri boleh la nak dapat RM200 (sehari), kalau luar memang tak ada langsung,” katanya.
Sementara itu, seorang penarik beca, Tan Hee Peng, 72, mengakui pendapatannya turut terjejas sejak penularan COVID-19 ke negara ini dan meminta pihak berkaitan menjelaskan syarat mahupun prosedur yang diperlukan untuk membolehkannya membuat permohonan.
“Sudah dua minggu saya tiada pendapatan. Saya mahu tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan tersebut, sama ada perlu jumpa pihak pelancongan atau pihak lain… jadi, kena maklum kepada kami supaya kami tahu,” katanya yang sudah menjadi penarik beca sejak 40 tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin pula berkata Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentangkan Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad semalam adalah satu pendekatan yang baik untuk membantu sektor pelancongan.
“Pakej ini salah satu inisiatif yang baik daripada kerajaan sebab kita sedang menghadapi situasi yang mencabar ketika ini. Tidak kira berapa jumlah yang diberi ia tetap membantu pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan,” katanya.
— BERNAMA