Pembukaan Kiara Skatepark penting untuk asah bakat peminat papan selaju

Pembukaan Kiara Skatepark penting untuk asah bakat peminat papan selaju

KUALA LUMPUR,. Komuniti sukan papan selaju menyambut baik pengumuman oleh Kementerian Belia dan Sukan mengenai pembukaan Kiara Skatepark kepada orang ramai sebaik sahaja kerja-kerja naik taraf kemudahan itu siap bulan depan.

Seorang jurulatih di bawah Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE) Joseph Romey Dures berkata langkah itu penting bagi mengenal pasti dan mengasah bakat-bakat baharu sukan itu, yang merupakan antara sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

“Apa yang saya bimbangkan ialah sekiranya tempat ini (Kiara Skatepark) tidak dibuka, kita tidak akan berpeluang untuk memupuk bakat-bakat baharu. Jika kita ada masa yang mencukupi untuk mengasah bakat-bakat baharu, kita mungkin berpeluang untuk bawa mereka bersaing di peringkat Olimpik.

“Kita berhasrat untuk mengasah bakat dan membangunkan acara sukan ini sehingga ke peringkat antarabangsa, seperti Olimpik satu hari nanti,” katanya dan menambah MYSKATE akan menampilkan program-program bagi mencungkil bakat baharu kearah Paris 2024.

Semalam Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas melawat kompleks sukan ekstrem Bukit Kiara mengumumkan kompleks yang ditutup sejak 2019 itu akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi memandangkan kerja-kerja baik pulih kini sudah berada di peringkat akhir.

Kerja-kerja pengubahsuaian Kiara Skatepark yang dibina pada tahun 2006 itu termasuk membaiki ‘ramp’ sedia ada serta pembinaan ‘ramp’ baharu dengan reka bentuk terkini yang dijangka siap bulan depan, dan dibuka kepada peminat sukan ekstrem, termasuk sukan papan selaju dan penunggang BMX.

Joseph yang bertanggungjawab memupuk minat komuniti sukan itu termasuk melatih dan mencungkil bakat-bakat baharu berkata, disebabkan penutupan Kiara Skatepark peminat sukan itu terpaksa memilih lokasi lain untuk latihan seperti Shah Alam Extreme Park, Putrajaya Challenge Park serta lain-lain kawasan awam yang lapang.

“Selama dua tahun ditutup, program latihan kebangsaan tak dibuat, terpaksa dihenti. Semasa pandemik ini agak susah untuk skating, hanya baru-baru ini boleh skateboarding balik, ramai ibu bapa bimbang untuk benarkan anak-anak mereka bersosial.

“Namun keadaan semakin berubah secara beransur. Dengan adanya prosedur operasi standard yang tersusun antara pemain dan jurulatih, saya yakin kita boleh teruskan dengan latihan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )