KPM bekalkan kit ujian kendiri saringan COVID-19 – Radzi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 kepada sekolah berasrama dan sekolah harian di bawah kementerian itu bagi persediaan pengoperasian sekolah secara berperingkat mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Okt ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata kit ujian pengesanan menggunakan air liur itu akan dibekalkan kepada semua sekolah terlibat dan ujian akan dijalankan sebelum murid-murid memulakan sesi persekolahan.

“Katakan murid-murid sekolah asrama dari Terengganu akan memulakan persekolahan di Kuala Lumpur, kita akan kumpulkan mereka di sebuah asrama di Terengganu dan jalankan ujian pengesanan sebelum mereka naik bas untuk masuk semula asrama,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini Radzi mengumumkan ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian kendiri akan dijalankan ke atas murid yang akan kembali ke sekolah berasrama penuh dan asrama harian.

Bagi murid sekolah berasrama penuh, ujian saringan akan dijalankan sebanyak tiga kali, iaitu semasa pendaftaran masuk, hari keenam dan hari ke-14.

Bagi murid yang tinggal di asrama harian pula, ujian saringan akan dilaksanakan semasa pendaftaran masuk, selain kit ujian kendiri disediakan untuk kegunaan sekolah harian membuat saringan awal sekiranya murid menunjukkan gejala ketika di sekolah.

Sementara itu, menjawab dakwaan mengenai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di Klang perlu membayar RM1,600 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi program vaksinasi murid, Radzi berkata KPM telah mengarahkan agar arahan itu dibatalkan.

Beliau berkata ia berlaku akibat salah faham dan tidak menjadi dasar KPM agar PIBG membuat sebarang pembayaran bagi program vaksinasi murid dan pelajar sekolah.

Radzi juga memaklumkan perkembangan vaksinasi warga pendidikan setakat 20 Sept iaitu 90.5 peratus guru, 85.8 peratus anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan 79.2 peratus pekerja perkhidmatan sokongan telah lengkap divaksin.

“Pada masa ini, 7.2 peratus guru, 11.4 peratus AKP dan 15.1 peratus pekerja perkhidmatan sokongan sedang menunggu suntikan dos kedua,” katanya.

Mengenai tindakan terhadap lebih 2,000 guru yang enggan divaksin, beliau berkata ia akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“… tentang tindakan kepada guru ini, kita telah bincang dengan JPA. Semalam JPA telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang memperincikan dan akan membawa ke MKN tentang pendekatan yang akan dibuat. Kita sedang teliti satu persatu apakah pendekatan yang terbaik berkaitan dengan tugasan mereka, ia bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh JPA,” katanya.

Mengulas mengenai lanjutan takwim persekolahan sehingga Februari 2022, Radzi berkata langkah itu bagi membolehkan sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan secara intensif bagi meningkatkan kesediaan murid mengikuti tahun persekolahan berikutnya.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran pengoperasian sekolah, KPM juga telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sebagai rujukan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), PPD dan pentadbir serta guru.

“Garis panduan ini turut menekankan aspek pengudaraan yang baik di dalam kelas dan mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )