Pembukaan sempadan Johor-Singapura diberi keutamaan kerajaan pusat – Mustapa

Pembukaan sempadan Johor-Singapura diberi keutamaan kerajaan pusat – Mustapa

JOHOR BAHRU,. Perbincangan mengenai pembukaan sempadan Malaysia-Singapura sentiasa diberi keutamaan dan perhatian kerajaan pusat, meskipun negara kini sedang berdepan dengan peningkatan kes COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan menyedari bahawa pandemik COVID-19 mendatangkan pelbagai risiko bagaimanapun perlu ada keseimbangan antara menangani isu ekonomi dan kesihatan bagi memulihkan ekonomi.

“Kerajaan ambil maklum bahawa Johor terkesan dengan penutupan sempadan. Ini telah dibangkitkan beberapa kali oleh Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad. Perkara berkenaan sentiasa dibincangkan di peringkat pusat.

“Malah, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Isnin lalu telah membincangkan topik pelancongan, sebanyak 50 peratus pelancong adalah dari Singapura,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Rumah Pangsa Larkin, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor Mohd Solihan Badri.

Mustapa berkata penutupan sempadan antara kedua negara telah menyebabkan kemasukan warga Singapura ke Johor untuk melancong atau membeli-belah terhenti dan pada masa yang sama rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dapat berulang-alik.

“Apa pun, kita semua berharap sempadan ini akan dibuka semula, tertakluk kepada keadaan kerana ada perkara perlu diberi perhatian di Malaysia dan Singapura sebelum dibuka sepenuhnya.

“Kita berharap akan tiba masanya… apabila sempadan dibuka walaupun tidak sepenuhnya tetapi secara berperingkat, ini akan dapat membantu memulihkan ekonomi Johor,” katanya.

Dalam lawatan berkenaan, Ahli Parlimen Jeli itu sempat meluangkan masa menziarahi tiga keluarga daripada golongan B40 untuk mendengar permasalahan dibangkitkan mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )