Pembunuhan Presiden Haiti, 17 suspek ditahan

Pembunuhan Presiden Haiti, 17 suspek ditahan

BOGOTA,. Polis di Haiti menahan 17 suspek termasuk dua rakyat Amerika berketurunan Haiti dan 15 warga Colombia susulan kes pembunuhan Presiden Jovenel Moise, lapor Agensi Anadolu memetik pejabat presiden pada Khamis.

Presiden Moise dibunuh di kediaman peribadinya di Port-au-Prince pada Rabu selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata. Menurut pihak berkuasa penyerang bertutur dalam bahasa Sepanyol dan Inggeris.

Isterinya, Martine Moise yang cedera dalam serangan itu, dipindahkan ke sebuah hospital di Miami, Florida, dan kini sedang menerima rawatan.

Penyerang terdiri dua rakyat Amerika dan 26 warga Colombia, menurut Pengarah Polis Haiti, Leon Charles dalam satu sidang media pada Khamis.

“Kami telah menahan 17 suspek lelaki terdiri 15 warga Colombia dan dua warga Amerika yang berasal dari Haiti. Tiga lagi warga Colombia telah terbunuh, sementara lapan yang lain masih bebas,” kata Charles.

Sebelum ini dilaporkan empat daripada suspek telah terbunuh.

Suspek warga Amerika itu dikenali Joseph Vincent dan James Solages, kedua-duanya berketurunan Haiti.

Duta Haiti ke Amerika Syarikat, Bocchit Edmond, menggambarkan kedua-dua lelaki itu sebagai “profesional, pembunuh, komando terlatih.”

Sementara itu, Menteri Pertahanan Colombia Diego Molano berkata suspek adalah bekas anggota tentera.

“Sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Presiden Moise, Interpol hari ini meminta maklumat daripada kerajaan Haiti mengenai pelaku pembunuhan itu. Maklumat awal menunjukkan mereka adalah rakyat Colombia, anggota tentera yang sudah bersara,” katanya.

Pihak berkuasa sedang menyiasat untuk mengetahui bagaimana suspek memasuki negara ini, kemungkinan mereka masuk melalui sempadan Republik Dominika.

Kejadian itu menyebabkan negara menghadapi krisis kepimpinan. Moise, 53, memegang jawatan pada 2017 selepas bertanding dalam pilihan raya.

Setelah gagal mengadakan pilihan raya, pembangkang menuntut beliau berundur.

Sehari sebelum kematiannya, Moise telah melantik Perdana Menteri baharu, yang akan memulakan tugasnya minggu ini. Haiti dijadual mengadakan pilihan raya pada 26 September.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )