Pemeriksaan awam bagi pengubahsuaian MRT laluan Putrajaya bermula esok

Pemeriksaan awam bagi pengubahsuaian MRT laluan Putrajaya bermula esok

KUALA LUMPUR,. Pemeriksaan awam bagi pengubahsuaian skim asal projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang dahulunya dikenali sebagai Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya akan bermula esok hingga 17 Dis.

Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan hari ini memaklumkan orang ramai boleh memeriksa pelan konteks tapak kerja dan dokumen lain berkaitan pengubahsuaian itu di pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Jalan Raja Laut di sini, pada hari bekerja dari 9 pagi hingga 4 petang.

“Antara pengubahsuaian yang akan dilakukan ialah penangguhan pembukaan stesen bawah tanah Bandar Malaysia Utara dan Bandar Malaysia Selatan, penangguhan atau penyemakan semula pintu masuk stesen dan jejambat pejalan kaki, penangguhan kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat yang akan diganti dengan kemudahan tempat letak kenderaan atas tanah dan lain-lain,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan pengubahsuaian adalah hasil pelaksanaan rasionalisasi kos oleh kerajaan bagi projek infrastruktur mega pada 2018 dan kos pembinaan Laluan MRT Putrajaya dapat dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion iaitu daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion.

“Pengubahsuaian ini dapat dilakukan kerana peralihan pendekatan pembinaan projek daripada pendekatan bina-untuk-kapasiti kepada pembinaan mengikut permintaan, berdasarkan semakan semula jangkaan bilangan penumpang oleh APAD,” kata MRT Corp.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)