PEMERKASA: Bayaran tunai RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan – PM

PEMERKASA: Bayaran tunai RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan – PM

KUALA LUMPUR,. Kerajaan bersetuju menyalurkan Geran Bantuan Khas ‘one-off’ (sekali bayar) sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan program itu hari ini berkata kerajaan juga bersetuju menyediakan bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM600 kepada pengusaha inap desa yang berdaftar dengan MOTAC.

“Ini bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19,” katanya dalam pengumuman khas PEMERKASA yang disiarkan secara langsung melalui semua platform media di sini.

Muhyiddin berkata kerajaan juga bersetuju melanjutkan pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan lagi hingga 30 Jun 2021 bagi membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Katanya dengan pelanjutan tempoh diskaun itu, kerajaan akan menanggung kos berjumlah RM135 juta.

Muhyiddin juga berkata kerajaan sedia membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat, termasuk mewujudkan laluan hijau khas bagi perjalanan rentas sempadan yang melibatkan pengangkutan udara.

“Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Inisiatif Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan itu, Muhyiddin berkata kerajaan turut bersetuju memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran masuk ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem di pawagam di semua Wilayah Persekutuan.

Kerajaan juga katanya akan melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel hingga 31 Disember 2021 ini, selain melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan hingga tahun taksiran 2022.

Beliau berkata di bawah inisiatif sama, kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember tahun ini melibatkan syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa.

Katanya inisiatif berkenaan juga akan memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu hingga RM1,000, meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.

“Kerajaan juga akan memberi pengecualian levi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh hingga Jun 2021,” kata Muhyiddin.

PEMERKASA yang diumumkan perdana menteri hari ini dengan nilai keseluruhan RM20 bilion, menumpukan kepada 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan oleh pandemik COVID-19.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )