Pemimpin UMNO Mula Turun Padang Bantu Mangsa Banjir

Puchong – Hujan lebat dan tidak berhenti sejak 48 jam lalu mengakibatkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan yang tidak dijangkakan berlakunya banjir di Selangor dan Kuala Lumpur sejak semalam. Kawasan Klang dan Shah Alam antara kawasan yang terjejas teruk termasuk beberapa kawasan sekitarnya.

Ketua UMNO Bahagian Subang, YB. Senator Dato’ Armand Azha juga turun padang pagi ini meninjau serta menghulurkan bantuan awal kepada mangsa banjir yang dipindahkan ke beberapa pusat perpindahan sementara di beberapa lokasi seperti Dewan MBSJ Puchong Indah, Sekolah Rendah Kebangsaan Puchong Indah dan Surau  Al Hidayah Taman Sri Puchong yang berada dalam Bahagian beliau.

Antara bantuan awal yang dihulurkan adalah barangan keperluan asas makanan kepada pusat perpindahan bagi membolehkan sukarelawan menyediakan makanan buat mangsa banjir. Sewaktu lawatan juga beliau mendapati beberapa keperluan lain yang mendesak seperti susu kanak-kanak, lampin pakai buang untuk bayi dan dewasa serta kerusi roda kepada OKU.

“Saya merasakan sudah menjadi tanggungjawab pemimpin UMNO di setiap Bahagian yang terlibat untuk turun membantu mangsa banjir tanpa mengira latarbelakang politik. Dalam situasi bencana ini kita tidak boleh mempolitikkan segala benda” – Armand Azha

Menurut Armand lagi Bahagian Subang akan terus menghulurkan bantuan pasca bencana banjir kepada mangsa banjir dalam kawasan Bahagian Subang seperti “water jet” dan peralatan sewaktu membersih kesan banjir nanti. UMNO Subang juga akan menggerakkan ahlinya bagi membantu mangsa banjir bagi kerja-kerja pembersihan selepas banjir ini surut nanti.

– Joy Reyzal

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )