Pemimpin UMNO perlu berusaha pulihkan sokongan rakyat – Syed Ali

Pemimpin UMNO perlu berusaha pulihkan sokongan rakyat – Syed Ali

KUALA LUMPUR: Segala pandangan dan teguran terhadap kepimpinan UMNO yang diluahkan oleh sesetengah pihak menerusi platform media sosial bertujuan menambah baik parti yang bakal berdepan cabaran lebih getir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, walaupun teguran tersebut ada ketikanya dilihat terlalu ‘pedas’, ia tidak bermaksud untuk melemahkan parti dan tidak bertujuan menyerang peribadi pemimpin tertentu.

“Justeru semua pihak harus berlapang dada untuk menerima kritikan dan kecaman tersebut kerana tindakan sedemikian bertujuan untuk memperbetulkan kepincangan serta membaiki kelemahan yang pada pandangan mereka, UMNO perlu berubah.

“Saya berpandangan ahli-ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat amat sayangkan parti walaupun ada masanya mereka berselisih pendapat dan berlaku pergeseran hujah dalam menzahirkan pendirian masing-masing,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Syed Ali turut menyarankan pucuk pimpinan UMNO agar lebih bersifat terbuka dan bersedia mengambil kira segala pandangan secara positif demi memastikan parti itu kekal relevan untuk menyatukan orang Melayu yang telah berpecah kepada kelompok politik yang berbeza.

“Bagaimanapun, pemimpin UMNO sewajarnya mengelak daripada bercakaran sesama sendiri sebaliknya tumpuan perlu dilakukan untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap parti.
“Ia kesan daripada serangan provokasi dan propaganda dilakukan pihak tertentu untuk menghalang kebangkitan UMNO pada PRU akan datang,” ujarnya.

Katanya, perlu diakui bahawa laluan untuk UMNO kembali berada di tapak kuasa pada PRU15 bukan sesuatu yang mudah selagi permasalahan dalaman tidak ditangani secara berhemah dan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Sebelum ini, Syed Ali mengingatkan, kekuatan parti politik bukan disukat daripada tahap sokongan individu tetapi dilihat kepada penerimaan rakyat menerusi undi yang diterjemahkan menerusi PRU untuk kekal berkuasa dan seterusnya menubuhkan kerajaan yang stabil dan dominan.

Jelasnya, ketetapan daripada resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ahad lalu, menuntut semua pihak lebih bertanggungjawab mencerminkan perwatakan kepimpinan yang disenangi rakyat dengan mengambil iktibar dari keputusan PRU14.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)