Pemuda UMNO Terengganu saran kerajaan negeri segerakan bantuan kecemasan pendidikan

KUALA TERENGGANU,. Kerajaan Terengganu disaran menyegerakan bantuan kecemasan pendidikan untuk melancarkan proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) bagi golongan yang memerlukan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera berkata ia perlu dilaksanakan secepat mungkin dengan permulaan sekurang-kurangnya sebuah tablet bagi keluarga yang memiliki dua anak yang sedang bersekolah.

“Keutamaan boleh diberi mengikut kriteria tertentu seperti keluarga B40, pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama ataupun pelajar di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, peruntukan untuk bantuan kecemasan ini boleh diperoleh dengan kuasa penuh di bawah Ordinan Darurat ketika ini dengan membuat sedikit pindaan terhadap beberapa item di dalam Belanjawan 2021 Terengganu yang telah diluluskan, tahun lepas.

“Sebagai contoh, peruntukan untuk infrastruktur pendidikan seperti pembinaan dua Sekolah Rendah Islam Darul Iman ataupun projek menaik taraf Kolej Al Quran Terengganu boleh ditangguhkan sementara dan dipindahkan peruntukan tersebut kepada bantuan kecemasan pendidikan Terengganu.

Tengku Haphiz berkata bantuan itu sangat diperlukan kerana ramai ibu bapa mengadu tidak mampu menyediakan tablet, komputer riba ataupun sekurang-kurangnya telefon pintar bagi melaksanakan sistem PdPR di kediaman masing-masing.

“Kekangan ini melibatkan keluarga yang memiliki lebih dua anak yang masih bersekolah. Secara asasnya, seorang pelajar sememangnya memerlukan satu tablet bagi memastikan setiap modul yang diajar tidak ketinggalan.

“Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera juga boleh berperanan sebagai peruntukan utama dalam menangani isu ini. Saya percaya jumlah keseluruhan RM50 juta ini sekurang-kurangnya membantu sebahagian besar pelajar sekolah seramai 150,000 orang ataupun 65 peratus dan akan memberi impak baik kepada pendidikan Terengganu pada 2021,” katanya.

Tambahnya, Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu juga bersedia memainkan peranan untuk berkongsi pengalaman menguruskan e-book iaitu komputer riba sekolah yang telah dilaksanakan di Terengganu sejak 2009.

“Program yang dimulakan Datuk Seri Ahmad Said (bekas menteri besar) ini telah dimanfaatkan oleh sebahagian besar pelajar sekolah rendah ketika itu. Malah, sistem yang dimuat turun menerusi e-Book Terengganu juga mengikut silibus pendidikan negara dan ia sangat berfaedah untuk pelajar,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )