Penambahbaikan jalan keutamaan dalam Bajet 2023

Penambahbaikan jalan keutamaan dalam Bajet 2023

KEPALA BATAS,. Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan Bajet 2023 yang akan dibentang pada 7 Okt ini berteraskan penambahbaikan jalan yang menumpukan kepada keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata secara umumnya, bajet berkenaan memfokuskan untuk memberi kemudahan dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Untuk Bajet 2023, memang kita telah adakan sesi yang dikendalikan oleh Menteri Kewangan dan berdasarkan sesi tersebut, KKR akan memberi keutamaan dalam penambahbaikan jalan yang menumpukan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya khususnya.

“Ia juga termasuk dalam konteks menggunakan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) di jalan yang dikatakan lebih menjimatkan dan kami juga akan mewujudkan sistem lampu isyarat pintar, yang sekiranya ia ditambah baik bukan saja memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya malah akan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan projek membina jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dari Permatang Pak Elong hingga ke Jambatan Merdeka di sini hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This