Penambahbaikan sentiasa dilakukan di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir – Exco

Penambahbaikan sentiasa dilakukan di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir – Exco

MELAKA,. Kerajaan Negeri Melaka melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir memudahkan semua pihak terutama bagi memberi limpahan ekonomi kepada peniaga di kawasan terbabit.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata setakat ini pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan menunjukkan kesan positif khususnya peniaga di kawasan sekitar sejak inisiatif berkenaan dilakukan pada 19 Ogos tahun lepas.

Beliau berkata sebagai contoh, pemindahan lebih 120 peniaga Uptown Pahlawan Walk dari tapak lama iaitu di Plaza Mahkota ke laluan kenderaan bermula di hadapan Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga hadapan Dataran Pahlawan sejak dua minggu lepas mendapat reaksi positif peniaga.

“Berdasarkan pemantauan dilakukan sejak pemindahan peniaga dilakukan, kedatangan pengunjung ke Uptown Pahlawan Walk semakin meningkat dan pendapatan peniaga juga meningkat sekali gus menggembirakan mereka.

“Situasi ini jelas membuktikan setiap penambahbaikan dilakukan kerajaan negeri di Zon Bebas Kenderaan itu bukan untuk menzalimi mereka tetapi membantu meningkatkan pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gelar Adat dan Gelanggang Persilatan Singa Bertujuh Pertubuhan Alqubro di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata pemindahan peniaga Uptown Pahlawan Walk ke tapak baharu telah mengambil kira pelbagai faktor antaranya tapak baharu bazar malam itu lebih terang dan luas selain merupakan laluan utama pelancong berjalan kaki semasa pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Justeru, beliau berharap semua pihak bersabar, bertenang dan memberi kerjasama terhadap penambahbaikan yang dilakukan di kawasan Zon Bebas Kenderaan itu.

“Reaksi negatif juga terpaksa dihadapi kerajaan negeri sebelum ini ketika mula-mula inisiatif Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan di Jonker Walk namun hari ini kita dapat lihat kesan positif dan limpahan ekonomi diterima peniaga.

“Ketua Menteri Datuk Ab Rauf Yusoh juga setiap minggu berkunjung ke kawasan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir untuk melihat aspek penambahbaikan yang perlu dilakukan termasuk penambahan tapak meletak kenderaan,” katanya.

Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir melibatkan penutupan beberapa jalan selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.

Bagaimanapun, tempoh pelaksanaan inisiatif itu dipendekkan kepada 21 jam berbanding 54 jam sebelum ini iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 6 petang hingga 1 pagi sehingga akhir Februari bagi memberi laluan kepada sambutan Tahun Baharu Cina.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)