Penang FC rampas kedudukan ketiga Liga Super, Mat Yo wira Sarawak United FC

Penang FC rampas kedudukan ketiga Liga Super, Mat Yo wira Sarawak United FC

KUALA LUMPUR,. Penang FC melakar kemenangan terbesar mereka dalam kempen Liga Super 2021 setakat ini apabila membelasah Terengganu FC 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam tadi, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada sembilan perlawanan.

Kali terakhir juara Liga Premier musim lepas itu tewas ialah ketika berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada awal Mac lalu.

Turun sebagai pasukan pelawat, skuad kendalian Tomas Trucha mengejutkan TFC dengan dua gol pada separuh masa pertama, masing-masing dijaringkan pemain import dari Tajikistan, Sheriddin Boboev pada minit kelapan dan kapten pasukan Endrick dos Santos pada minit ke-21.

Wira TFC menentang JDT minggu lalu, Mohamad Hakimi Abdullah merapatkan kedudukan menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-59, namun kemaraan skuad Sang Penyu terhenti susulan dua gol penyerang Anselmo Arruda da Silva pada minit ke-65 dan ke-68.

Kemenangan tersebut membolehkan Penang FC mengatasi TFC di kedudukan ketiga Liga Super selepas mengumpul 22 mata sementara TFC kekal 21 mata.

Sementara itu, Sri Pahang FC akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan selepas enam perlawanan apabila berpesta gol membenam UiTM FC 5-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad Tok Gajah ternyata gah menguasai kedua-dua babak permainan, mendahului 2-0 pada 45 minit pertama hasil jaringan Lee Tuck seawal 50 saat perlawanan berlangsung sebelum Pedro Henrique melebarkan kedudukan pada minit ke-34.

Muhammad Baqiuddin Shamsudin, Herold Goulon masing-masing mencetak nama sebagai penjaring buat Sri Pahang FC pada babak kedua perlawanan sebelum jaringan sendiri Fahmi Sabri melengkapkan kemenangan bergaya 5-0 skuad bimbingan Dollah Salleh itu.

Kejayaan itu masih gagal mengeluarkan Sri Pahang FC dari zon penyingkiran, namun hanya satu mata memisahkan mereka dengan Perak FC yang mempunyai kelebihan satu perlawanan di kedudukan ke-10 dengan sembilan mata.

Sementara itu, gol tunggal penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-85 memastikan Sarawak United FC merampas takhta Liga Premier selepas mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Sarawak United FC kini mengumpul 20 mata sementara pencabar terdekat Negeri Sembilan FC di kedudukan kedua dengan 18 mata.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )