Penarikan balik sekatan COVID-19 di Berlin legakan peminat bola sepak Jerman

Penarikan balik sekatan COVID-19 di Berlin legakan peminat bola sepak Jerman

BERLIN: Peminat bola sepak di Jerman akan dibenarkan kembali ke stadium bola sepak buat kali pertama sejak Oktober tahun lepas pada Sabtu depan selepas pihak berkuasa di Berlin bersetuju menarik balik sekatan COVID-19 untuk 2,000 orang bagi menghadiri perlawanan terakhir kelab Bundesliga Jerman untuk kelab Union Berlin, yang akan bermain menentang RB Leipzig.

“(Kelab) Union Berlin membuat satu permohonan, dan kami membuat keputusan mendapat nasihat dari pihak berkuasa kesihatan yang membenarkan 2,000 penyokong masuk ke stadium,” kata Martin Pallgen, jurucakap untuk jabatan sukan kerajaan Berlin.

Langkah itu membenarkan pemegang tiket bermusim untuk menonton perlawanan dalam stadium ketika kelab Union Berlin memburu kelayakan ke Liga Conference Europa pada hari terakhir liga musim ini.

Dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka, Union berkata “acara sulung” akan hanya dibenarkan jika “situasi pandemik membenarkannya”. Menurut Pallgen, kelulusan bersyarat pada kadar purata jangkitan tujuh hari di Berlin harus kurang dari 100 kes baharu untuk 100,000 penduduk pada minggu ini.

Jika kadar jangkitan kekal rendah, penyokong yang pulih dari COVID-19, menerima dos lengkap vaksin atau memberikan ujian terkini negatif COVID-19, akan dibenarkan memasuki Stadium Alte Foersterei, yang kebiasaannya mempunyai kapasiti 20,000 penonton.

Dengan tuntutan dari penyokong setia Union untuk melebihi dari kuota dibenarkan, tiket-tiket kemasukan ke stadium akan diperuntukkan secara loteri di kalangan pemegang tiket bermusim. Protokol ketat COVID-19 berkuatkuasa di Jerman sejak musim luruh tahun lepas dan stadium-stadium dalam Bundesliga Jerman kekal tanpa penonton sejak lewat bulan Oktober.

Namun dengan kadar jangkitan menurun seluruh Jerman dan kempen imunisasi negara itu berjalan lancar, banyak negeri membuat langkah berhati-hati membuka ekonomi mereka. Makan di luar dijangka akan dibenarkan di Berlin dari hujung minggu hadapan buat kali pertama sejak Oktober sementara kawasan pesisir pantai seperti Schleswig-Holstein telah dibuka kepada pelancongan.

Namun Union mungkin satu-satu kelab yang akan mendapat sorakan penyokong mereka hujung minggu ini selepas pihak berkuasa di Munich dan di wilayah gilakan bola sepak, North-Rhine Westphalia, masih tidak membenarkan kehadiran penonton.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)